arena

'Saya stabil, sihat' - Jackie

Oleh Saiful Affendy Sapran

“SETAKAT ini saya berada dalam keadaan yang stabil dan sihat.”

Demikian kenyataan atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong yang mengesahkan dirinya berada dalam keadaan sihat selepas muncul atlet pertama negara positif wabak koronavirus baharu (Covid-19) dua hari lalu.

“Pada 16 Mac, saya disahkan positif Covid-19 iaitu sehari selepas ayah saya disahkan positif. Dengan ini, saya sedang dikuarantin di Hospital Sibu bagi pemantauan dan rawatan yang selanjutnya.

“Mengenai dengan ayah saya (Wong Ling Biu Andrew), keadaan beliau pada hari ini (semalam) lebih baik berbanding dengan hari-hari sebelumnya,” katanya menerusi status terbaru di laman sosial Facebook miliknya.

Jackie juga menasihati seluruh warga Malaysia agar tidak berkongsi berita palsu yang belum disahkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Saya juga ingin menegur supaya jangan mengeluarkan atau berkongsi berita-berita yang palsu dan belum disahkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Teruskan doa anda untuk ayah saya dan ahli keluarga saya,” katanya.

Jackie adalah pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi dengan jarak 68.22 meter.

Tahun lalu saja dia berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak empat kali iaitu dua kali ketika beraksi di Kejohanan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Terbuka Korea Selatan dan Kejuaraan Olahraga Asia.

Dia meraih pingat perak ketika di Sukan SEA Filipina tahun lalu, manakala ketika temasya yang sama di Kuala Lumpur dia berjaya menggondol emas.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 12:05am
    d