arena

Peminat Melaka mula resah

Oleh Nazri Abu Bakar

DUA kekalahan berturut- turut Melaka pada aksi Liga Super jelas membimbangkan peminat skuad Hang Tuah itu.

Walaupun sebelum ini mereka berkeyakinan tinggi mampu mencabar Johor Darul Ta'zim (JDT), namun situasi terbabit jelas menimbulkan kebimbangan.

Pengerusi kelab penyokong Demi Melaka United (DMU) Mohamad Odiyas Onan berkata, kekalahan 2-3 kepada Felda United di Jengka sepatutnya menjadi pengajaran.

Namun malang sekali pasukan juga tewas kepada Pahang di laman sendiri Sabtu lalu yang meletakkan barisan kejurulatihan perlu segera membentuk semula pasukan mantap.

Katanya, dengan barisan pemain yang disenaraikan kali ini dilihat antara yang terbaik berbanding musim sebelumnya, sudah pasti peminat mahu keputusan lebih baik.

Baginya, daripada penjaga gol, pertahanan tengah dan serangan kesemuanya memiliki barisan berpengalaman dan trek rekod yang positif justeru mereka perlu bangkit selepas ini.

“Kami masih belum berasa cemas dengan syarat pemain harus mengelak sebarang kekalahan lagi dalam misi meraih sekurang-kurangnya menduduki tempat ketiga liga dan menjulang salah satu piala musim ini,” katanya.

Dalam masa sama dia mahu aksi cemerlang sepanjang pramusim kembali ditampilkan dalam aksi liga untuk merealisasikan sasaran pasukan.

Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 8:21pm
d