arena

Berita palsu Liverpool sah juara liga

Oleh Agensi

PRESIDEN UEFA, Aleksander Ceferin menganggap adalah satu berita palsu apabila Liverpool dikatakan boleh menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris tanpa perlu melengkapkan saingan musim ini.

Badan bola sepak Eropah itu bermesyuarat semalam untuk membincangkan krisis membabitkan penangguhan liga susulan wabak koronavirus baharu (Covid-19) yang menular ke seluruh dunia ketika ini.

Liga Perdana Inggeris serta beberapa liga di Eropah sudah diminta oleh UEFA untuk menamatkan saingan musim ini sehingga 30 Jun.

Liverpool serta kelab yang lain sepatutnya kembali beraksi pada minggu pertama April.

Sebelum saingan liga ditangguhkan, Liverpool hanya mencicirkan dua daripada 29 perlawanan liga dan mereka hanya memerlukan enam mata lagi daripada baki sembilan perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan liga buat kali pertama selepas 30 tahun.

Namun tidak pasti sama ada saingan liga boleh bersambung pada April selepas wabak Covid-19 dilihat semakin serius di Eropah.

Susulan itu timbul khabar angin yang menyatakan saingan musim ini mungkin akan berakhir seperti sedia ada dengan Liverpool boleh dinobatkan sebagai juara.

Ceferin bagaimanapun menafikan perkara itu apabila berkata: “Saya menyaksikan dan mendengar berita palsu bahawa UEFA akan meminta saingan liga ditamatkan sekarang dan memutuskan bahawa pemenang adalah yang mengungguli carta liga ketika ini.

“Saya boleh katakan ia tidak benar. Sasaran kami adalah untuk menamatkan saingan liga dan kami tidak pernah mencadangkan perkara lain kepada mana-mana persatuan atau liga,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 8:40pm
    d