arena

IOC ubah sistem kelayakan Tokyo 2020

Oleh BERNAMA

BERIKUTAN penangguhan hampir semua acara sukan kerana penularan pandemik Covid-19, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) akan membuat perubahan mengenai sistem kelayakan untuk memastikan temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 berlangsung mengikut jadual pada 24 Julai hingga 9 Ogos.

IOC dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama badan persekutuan sukan antarabangsa untuk melakukan perubahan terhadap proses kelayakan kerana sehingga kini hanya 57 peratus atlet yang layak ke temasya terbesar dunia itu.

Perubahan terhadap sistem kelayakan dan peruntukan yang masih ada adalah berdasarkan kepada keputusan semasa (kedudukan ranking dunia atau sejarah keputusan) dan berkemungkinan menggunakan prinsip sedia ada sistem kelayakan (ranking atau pencapaian peringkat benua).

IOC menegaskan kemungkinan menggunakan prinsip dan jadual kelayakan sedia ada jika proses kelayakan itu mempunyai akses yang adil untuk semua atlet dan pasukan, manakala tiada perubahan berlaku pada kuota yang sudah diperuntukkan kepada atlet yang berjaya dan Jawatankuasa Olimpik negara perserta (NOCs).

Menurut IOC, sebarang pertambahan kuota atlet pula akan dipertimbangkan berdasarkan situasi semasa dengan mendapatkan sokongan daripada Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020.

Badan persekutuan sukan antarabangsa terlibat akan mengemukakan cadangan perubahan terhadap sistem kelayakan berdasarkan kepada prinsip yang dinyatakan dan sebarang perubahan terhadap sistem kelayakan oleh sukan tertentu akan diterbitkan awal April dan disampaikan kepada semua pemegang berkepentingan, menurut kenyataan itu.

“Kesihatan dan kebajikan semua yang terlibat dalam persiapan penganjuran Tokyo 2020 adalah keutamaan kami. Semua langkah akan diambil untuk memastikan keselamatan dan kepentingan atlet, jurulatih dan pasukan sokongan.

“Kami adalah komuniti Olimpik; kami saling menyokong antara satu sama lain dalam susah dan senang. Semangat Olimpik ini mencerminkan kami adalah satu komuniti,” kata Presiden IOC Thomas Bach.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 9:57pm
    d