arena

Neville sediakan hotel percuma

Oleh Agensi

BEKAS pertahanan Manchester United dan England, Gary Neville menawarkan pekerja kesihatan menggunakan kemudahan hotelnya secara percuma bagi membantu mereka yang berkerja keras menangani krisis koronavirus.

Dua hotel Manchester milik Neville akan ditutup kepada orang ramai, menyediakan 176 katil untuk NHS dan staf perubatan yang lain.

Bekas kapten United berkata dia tidak mempunyai kakitangan berlebihan atau diminta untuk mengambil cuti tanpa gaji.

“Ia sesuatu yang menggembirakan kami apabila dapat mencapai persetujuan mengenainya,” kata Neville.

“Inilah masa yang paling sesuai untuk semua pihak dalam industri keperluan menunjukkan perpaduan, tidak hanya kepada kakitangan sendiri pada waktu sukar, tapi kepada semua orang yang memerlukan kemudahan untuk beberapa bulan akan datang,” kata Neville.

Neville bersama rakan sepasukannya, Ryan Giggs adalah pemilik dua hotel iaitu Hotel Stock Exchange di pusat bandar dan Hotel Football di Old Trafford.

Kedua-duanya akan ditutup kepada orang ramai pada Ahad dan perkhidmatan disediakan kepada pekerja kesihatan bermula Jumaat selepas berunding dengan pusat kesihatan di Greater Manchester.

“Kakitangan kami menjalankan operasi hotel seperti biasa apabila pekerja kesihatan dibenarkan untuk tinggal di sana secara percuma. Ia termasuk apabila mereka perlu mengasingkan diri daripada anggota keluarga yang mungkin dijangkiti,” terang Neville.

Pada awal Isnin lalu, Chelsea turut mengumumkan langkah sama untuk membuka hotel kepunyaan pemilik kelab itu kepada staf NHS.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 10:12am
    d