arena

Musim malang buat Sane

Oleh Agensi

LEROY Sane berkata kecederaan berpanjangan membuatkan dia mengharungi musim yang panjang dan paling sukar dalam kariernya.

Sayap Manchester City itu, terpaksa diketepikan sejak mengalami kecederaan buku lali serius ketika berdepan Liverpool dalam saingan Perisai Komuniti pada Ogos lalu.

Pemain berusia 24 tahun, bagaimanapun, hampir kembali dalam saingan musim Liga Perdana Inggeris sebelum saingan ditangguhkan berikutan penularan koronavirus.

Dia kembali menjalani latihan pada penghujung Januari dan dilihat beraksi dalam berapa perlawanan bagi skuad bawah 23 tahun kelab itu.

“Ia adalah tempoh yang paling sukar dan kecederaan yang paling panjang pernah dilalui dalam karier saya,” kata pemain antarabangsa Jerman kepada laman web kelab itu http://www.mancity.com.

“Ia sangat sukar, terutama hari pertama selepas pembedahan kerana kamu tidak dapat bergerak langsung dan ia bukan sesuatu yang biasa berlaku buat semua atlet sukan.

“Kamu harus memaksa diri sendiri setiap hari kerana kamu tahu ia tempoh pemulihan yang lama, tapi ia adalah peluang terbaik untuk berkerja keras mengatasi kelemahan lain dan disebabkan itu saya mengambil peluang untuk pulih sepenuhnya serta untuk kembali dengan lebih kuat.”

Kontrak Sane di Etihad Stadium di jangka tamat tahun depan dan dia beberapa kali dikaitkan dengan perpindahan ke Bayern Munich.

Dia berterima kasih kepada rakan sepasukannya yang memberi sokongan berterusan sepanjang tempoh pemulihan itu.

Ilkay Gundogan dan Benjamin Mendy yang mempunyai pengalaman berehat panjang berikutan kecederaan lutut bersama City sangat membantunya.

Sane berkata: “Keseluruhan pasukan memberi galakan kepada saya, sudah tentu, tapi saya lebih banyak berbincang dengan Gundogan dan Mendy mengenai kecederaan itu, apa yang mereka lakukan, apa yang mungkin berlaku dan pelbagai pengalaman mereka.

“Ia banyak membantu saya bagaimana merasai sesuatu perkara dan apa yang akan berlaku. Ia ternyata membantu dan saya gembira apabila ia berjaya menolong mengatasi masalah saya.”

Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 11:43am
d