arena

Zii Jia harus manfaat peluang

Oleh Syazwan Msar

USIA masih muda dan sudah mendapat pendedahan secara meluas di peringkat antarabangsa seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk memecah tembok berada dalam kelompok lima terbaik dunia.

Justeru, tiga perkara menjadi penekanan bagi bekas pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei kepada Zii Jia iaitu perbaiki persembahan dengan tidak lagi tewas kepada pemain kurang ternama, kenal pasti kelemahan dan gunakan peluang yang ada untuk mencipta kejayaan.

Jika berjaya mengatasinya, Chong Wei melihat Zii Jia tidak perlu tunggu lama untuk ‘meletup’ dengan mungkin berada dalam ranking tiga terbaik untuk tempoh dua tahun akan datang.

Beliau berkata, Zii Jia mendapat peluang dan medium terbaik untuk mempamerkan aksi pada usia muda apabila diberikan kepercayaan untuk menggalas cabaran membawa nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Zii Jia baharu berusia 22 tahun dan dengan usia muda itu sudah diberikan peluang yang banyak di pentas antarabangsa seterusnya menjadi platform perbaiki mutu atau corak permainan menjadi lebih baik.

“Saya ingat lagi, pada usia 22 tahun hanya bermain di peringkat kebangsaan saja kerana ketika itu ramai pemain yang hebat malah membayangkan mungkin tidak akan pergi jauh.

“Zii Jia jika mahu berjaya bukannya letakkan matlamat paling tinggi namun tanam dalam diri azam untuk terus memberikan persembahan terbaik pada setiap perlawanan,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro , semalam.

Sebelum ini Zii Jia hampir melakar kejutan apabila melangkah ke separuh akhir Seluruh England namun tewas kepada bekas juara dunia, Viktor Axelsen.

Sementara itu, Chong Wei berkata, harapan tinggi diletakkan kepada pemain perseorangan terbabit untuk melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan berikutan ketandusan bakat baharu bagi acara itu.

“Sememangnya ada tekanan apabila semuanya diletakkan kepadanya untuk mencipta kejayaan namun dia perlu bijak mengawal perkara berkenaan dan terus mengekalkan momentum pada setiap kejohanan disertai,” katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 7:21am
d