arena

Luka Jovic mohon maaf

Oleh AFP

PENYERANG Real Madrid, Luka Jovic memohon maaf selepas berkunjung ke Serbia dan ingkar arahan pengasingan diri bagi mengelakkan penularan koronavirus.

Jovic mendakwa dia diberikan kebenaran untuk pulang ke negara kelahirannya Serbia oleh Real Madrid, yang menjalankan kuarantin minggu lalu selepas salah seorang pemain bola keranjang kelab itu didapati positif virus berkenaan.

Tapi selepas tiba di Belgrade, menurut laporan AS akhbar Sepanyol, pemain berusia 22 tahun itu dilihat berada di kaki lima bandar berkenaan meraikan ulang tahun kelahiran teman wanitanya.

Media tempatan di Belgrade melaporkan bahawa Jovic dikunjungi anggota polis, begitupun tidak dapat dipastikan apa-apa tuduhan yang akan dibuat kepada pemain itu.

“Pertama sekali, saya memohon maaf kerana menjadi topik utama (perdebatan) beberapa hari ini, dan saya minta maaf kerana orang ramai berterusan menulis mengenai saya dan bukan kerana mahu memberi tumpuan kepada menangani krisis ini.

“Sepatutnya tumpuan dan pujian harus diberikan kepada pihak doktor dan semua pihak yang bekerja dalam bidang kesihatan,” tulis Jovic di media sosialnya.

“Di Madrid, ujian Covid-19 adalah negatif. Jadi saya mengambil keputusan untuk pulang ke Serbia, untuk membantu dan memberi sokongan kepada rakyat kami, pada masa sama dapat lebih dekat dengan keluarga selepas memperoleh kebenaran dari kelab saya.

“Apabila saya tiba di Serbia, mereka memberikan saya ujian dan keputusannya negatif. Saya minta maaf kerana segelintir pihak tidak menjalankan tugas mereka dengan profesional dan tidak memberi arahan yang jelas sepanjang tempoh pengasingan.

“Di Sepanyol mereka membenarkan untuk membeli makanan atau barangan di farmasi, di mana ia tidak berlaku di sini (Serbia).

“Saya mohon maaf kepada semua orang jika kelakuan saya menyinggung atau meletakkan seseorang dalam bahaya. Saya harap kita dalam bersama-sama mengatasi semua masalah ini.”

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 8:39am
    d