arena

Akhirnya bakal dapat jersi baharu

Oleh Firdaus Hashim

PELATIH Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) kini mampu mengukir senyuman apabila disahkan bakal menerima tajaan baharu membabitkan pemberian pakaian sukan jenama tempatan bermula bulan depan.

Berita gembira itu dimaklumkan Majlis Sukan Negara (MSN) yang bertindak selaku agensi pelaksana Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) susulan laporan Arena Metro dua hari lalu apabila mendedahkan penggunaan jersi 'cabuk' oleh skuad B-16 AMD dalam saingan Piala Belia baru-baru ini.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh MSN, masalah utama mengapa skuad muda AMD menggunakan jersi lama yang tertanggal logo berpunca daripada masalah teknikal membabitkan penaja lama dari luar negara tahun lalu.

Bagaimanapun, MSN yang diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail bertindak pantas dengan mencari penaja baharu pada awal tahun ini bagi memastikan pelatih AMD terus menerima kemudahan terbaik termasuk penajaan pakaian dan kelengkapan sukan.

“Penghujung tahun 2019 yang lalu, pihak MSN mendapat tajaan sebuah syarikat pakaian sukan luar negara yang berminat menaja (NFDP) keseluruhannya tetapi oleh kerana ia membabitkan syarikat luar negara, maka proses kelulusan sedikit rumit dan termaktub di bawah Peraturan Perolehan Kerajaan dan ia tidak dapat dilaksanakan.

“Sehubungan itu, pada awal tahun 2020 ini, pengurusan sudah mendapatkan tajaan alternatif dari sebuah syarikat pakaian sukan tempatan untuk menaja pakaian serta kelengkapan sukan pasukan-pasukan AMD.

“Proses dokumentasi berkaitan tajaan sudah disiapkan pada Januari lalu, dan kini ia sedang disiapkan oleh pihak jenama berkenaan.

“Oleh kerana ia membabitkan jumlah besar yang meliputi pakaian bagi pasukan-pasukan AMD, maka, ia memerlukan sedikit masa untuk diselaraskan,” kata kenyataan itu.

Menerusi pendedahan Arena Metro sebelum ini, pelbagai persoalan timbul susulan skuad B-16 AMD memakai jersi lama yang tertanggal logo ketika peruntukan besar sebanyak RM45 juta sudah diperuntukkan untuk NFDP bagi tahun ini.

Begitupun, dengan beberapa isu melanda negara termasuk peralihan kepimpinan kerajaan dan penularan Covid-19, peruntukan itu akan disalurkan kemudian secara berperingkat.

Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 5:54pm
d