arena

Presiden baharu harapan MUSA

Oleh Nazri Abu Bakar

PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) yakin perubahan pucuk kepimpinan diketuai presiden baharu yang juga Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali dapat menyelesaikan segala kekangan dan masalah persatuan terbabit.

Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya sedia maklum dan akur dengan keputusan mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam berkenaan hukuman pemotongan tiga mata ke atas Melaka bagi saingan Liga Super 2020.

“Kegagalan untuk menjelaskan tunggakan 2019 yang berbaki RM1.4 juta adalah berikutan kekangan kewangan dihadapi persatuan biarpun sebahagian besar dan penajaan bagi musim 2019 sudah digunakan untuk menjelaskan hutang.

“Sementara dana sumbangan penajaan daripada penaja bagi musim 2020 masih belum diterima setakat ini,” katanya.

Menurutnya, bagi pihak MUSA juga mengakui kegagalan yang mengakibatkan pemotongan mata ini tidak bersangkut paut dengan keadaan politik semasa dan wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini .

Ia berikutan tempoh masa yang diberikan oleh FAM untuk memjelaskan segala tunggakan adalah wajar dan ditambah pula tempoh lanjutan yang dipohon sehingga 14 Mac 2020 oleh mantan Presiden, Damian Yeo Shen Li.

“Namun dengan perubahan pucuk kempimpinan MUSA diketuai Presiden baharu nanti, pihak kami yakin segala kekangan dan masalah ini dapat diselesaikan dengan kadar segera bagi memastikan pasukan Melaka tidak dikenakan tindakan selanjutnya iaitu pemotongan enam mata lagi sebelum 30 April 2020,” katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 6:35pm
d