arena

'Jadi tak jadi perkara kedua'

Oleh Syazwan Msar

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mahu fokus kepada kelayakan atlet bagi menempah tiket untuk beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula 24 Julai hingga 9 Ogos depan berbanding memikirkan penganjuran terbabit mungkin dibatalkan atau sebaliknya. Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, perkara terbabit menjadi kebimbangan pihaknya memandangkan setakat ini hanya 12 atlet yang layak beraksi di temasya berkenaan.

Beliau berkata, hampir semua kejohanan ditunda terutama di peringkat antarabangsa sekali gus memberi cukup peluang kepada atlet untuk membuktikan kemampuan masing-masing seterusnya layak ke Sukan Olimpik.

“Kita akur kepada keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang mahu meneruskan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan untuk itu kita akan cuba memastikan atlet dalam keadaan siap sedia.

“Cuma sekarang ini apa yang penting adalah atlet berkaitan perlu melepasi ujian kelayakan ke sukan terbabit. Setakat ini, hanya ada 12 atlet yang layak ke Sukan Olimpik dengan ia masih lagi jauh dengan sasaran untuk menghantar sekurangnya 30 atlet pada temasya itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, semua Jawatankuasa Olimpik Nasional (NOC) Asia termasuk MOM mengundi untuk menyokong keputusan IOC yang mahu meneruskan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 mengikut jadual asal bermula 24 Julai hingga 9 Ogos depan di sebalik ancaman terhadap penularan Covid-19.

Norza berkata, keputusan itu dibuat selepas mendengar penjelasan dan jaminan diberikan IOC pada persidangan video bersama semua wakil NOC Asia yang berlangsung selama satu jam setengah, baru-baru ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 6:35am
    d