arena

MHC lega pemain bebas Covid-19

Oleh Syazwan Msar

KEM hoki negara boleh menarik nafas lega apabila semua pemain yang terdedah atau berada berhampiran dengan kontak wabak Covid-19 disahkan negatif dan sihat.

Situasi itu turut membabitkan tiga pemain skuad kebangsaan, Muhamad Hafiz Zainol, Abdul Khaliq Hamirin dan Muhamad Syawal yang sebelum ini menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur, bulan lalu.

Selain tiga pemain terbabit, dua pemain hoki yang menjalani latihan dan rawatan di Majlis Sukan Negara (MSN) bersama atlet baling tukul besi negara Jackie Wong yang disahkan positif Covid-19 sebelum ini turut terselamat apabila pemeriksaan mendapati mereka bebas daripada jangkitan virus berkenaan.

Perkara terbabit diakui Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Dr S Shamala yang memaklumkan semua pemain terbabit berada dalam keadaan sihat selepas menjalani pemeriksaan rapi oleh pihak hospital.

Beliau berkata, MHC mengambil inisiatif melakukan siasatan pembabitan pemain hoki menyertai perhimpunan itu supaya segera melakukan saringan bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang jangkitan Covid-19.

“Setakat ini, saya dimaklumkan hanya tiga pemain terbabit menyertai perhimpunan itu dan bersyukur mereka negatif manakala dua lagi yang berlatih di MSN turut bebas daripada Covid-19.

“Namun, pemain terbabit tetap dikuarantin untuk tempoh 14 hari bagi mengelak sebarang kemungkinan pada masa akan datang. Pada masa sama, pasukan perubatan MHC turut memantau tahap kesihatan mereka dan jika ada sebarang gejala Covid-19 akan terus mengambil tindakan susulan,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sementara itu, Shamala berkata, semua pemain hoki yang beraksi di luar negara turut dipantau tahap kesihatan mereka dan meminta supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Dua pemain hoki wanita yang beraksi di kelab berpangkalan di London sudah pulang ke tanah air dan mereka tetap dikenakan arahan kuarantin bagi mengelak sebarang perkara tidak di ingini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 6:45am
    d