arena

Dybala, Maldini positif Covid-19

Oleh AFP

PENYERANG Argentina, Paulo Dybala berkata dia menjadi pemain ketiga dari Juventus didapati positif koronavirus (Covid-19) sementara bekas pemain pertahanan AC Milan, Paolo Maldini mendedahkan anak lelakinya juga dijangkiti.

“Hi semua. Saya hanya mahu memberitahu kami sudah menerima keputusan ujian Covid-19 dan Oriana (Sabatini, teman wanita saya) dan saya didapati positif," kata Dybala pemain berusia 26 tahun menerusi twitter.

“Bagaimanapun, kami berada dalam keadaan baik. Terima kasih atas semua pesanan anda.”

Juara Itali, Juventus berkata Dybala sudah melalui pengasingan diri sejak Khamis lalu.

“Kami akan terus menjalankan pemantauan. Dia berada dalam keadaan baik dan tidak mempunyai simptom,” menurut kenyataan kelab itu.

Milan dalam satu kenyataan berkata Maldini, kini pengarah teknikal di Milan, dan anak lelakinya berusia 18 tahun - Daniel, pemain skuad remaja, turut bertarung dengan wabak berkenaan.

“Paolo dan Daniel kedua-duanya berada dalam keadaan baik dan sudah melengkapkan dua minggu berada di rumah tanpa berhubung dengan yang lain.”

“Mereka kini akan kekal dikuarantin sehingga pulih sepenuhnya, sebagai syarat perubatan oleh pihak berkuasa kesihatan.”

Maldini, 51, diiktiraf antara pemain pertahanan terbaik sepanjang zaman.

Dia memenangi lima kejuaraan Liga Juara-Juara bersama Milan dan tampil dalam 647 perlawanan.

Pemain Juventus, Daniele Rugani dan Blaise Matuidi turut didapati positif wabak berkenaan yang menyebabkan hampir 800 kematian semalam dan menjadikan keseluruhan 4,825 di Itali.

Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 8:27am
d