arena

PSM tak cadang tangguh STL

Oleh Malik Muhamad

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak bercadang untuk menangguhkan tarikh Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) yang dijadualkan bermula 5 Ogos ini.

Bagaimanapun tarikh berkenaan bergantung kepada situasi semasa penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda negara dan dunia sehingga memaksa Kerajaan Malaysia mengeluarkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac ini.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, setakat ini PSM tidak bercadang untuk menunda tarikh kejohanan berkenaan kerana sudah melakukan perancangan lebih awal.

Beliau yang mula memegang jawatan presiden itu sejak 2003 berkeyakinan wabak Covid-19 itu akan berakhir jika semua masyarakat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak kerajaan dan barisan hadapan bagi membendung penularan wabak itu.

"Ya sudah muktamad, STL akan diadakan mengikut perancangan PSM dan dijadualkan bermula 5 Ogos hingga 8 November ini yang akan dilangsungkan selama 12 minggu iaitu pada hari Sabtu dan Ahad sahaja.

"Lagipun musim ini setiap pasukan juga dibenarkan menggunakan khidmat pemain import beraksi dalam kejohanan berprestij dalam negara itu sebagaimana tahun lalu.

"Namun begitu, tarikh kejohanan itu juga perlu mengambil kira dan bergantung juga berapa lama masalah Covid-19 ini akan berakhir.

"Kita doakan semoga Allah pelihara kita semua termasuk pemain sepak takraw di seluruh negara dan mendoakan penularan Covid-19 ini reda dan tamat dalam waktu yang terdekat ini.

"Namun jika Covid-19 ini belum reda dan PSM mahu melangsungkan kejohanan tanpa penonton, kita perlu mendapat pelepasan daripada pihak kerajaan terlebih dahulu," ujar Ahmad yang lebih mesra disapa Tok Mat.

Musim lalu, pasukan Perak Bison muncul juara liga STL manakala dalam STL Champions Cup, Johor Tigris melakukan kejutan apabila berjaya menumpaskan penyandang juara, Penang Black Panthers pada aksi final di Iskandar Studio Malaysia, Johor.

Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 11:12am
d