arena

Covid-19: Jangan sampai kena tangkap

Oleh Malik Muhamad

PENGURUS pasukan Terengganu FC (TFC), Ahmad Shahrizal Yahya menasihati barisan pemain supaya patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa 18 hingga 31 Mac ini bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Beliau berkata, pihak pasukan dan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak mahu terpalit dengan insiden yang tidak sepatutnya jika pemain ditangkap pihak berkuasa kerana tidak mematuhi arahan dan lebih parah jika menjadi tular.

“Saya mohon supaya semua pemain patuh dengan arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan yang bukan sewenang-wenangnya mengeluarkan arahan itu. Tujuannya adalah untuk menyekat penularan pandemik Covid-19.

“Kita tahu pemain ingin mengekalkan tahap stamina masing-masing, namun saya nasihatkan supaya ia dilakukan di dalam kawasan rumah, usah sesekali melakukannya di luar rumah.

“Jika ditangkap oleh pihak berkuasa dan menjadi tular, ia akan menyebabkan pihak pengurusan pasukan dan persatuan akan terpalit dengan isu itu memandangkan semua pemain TFC dikenali ramai.

“Justeru saya merayu pemain mengikuti arahan kerajaan dari semasa ke semasa,” kata Shahrizal yang mengakui setakat ini semua pemain mengikuti arahan berkenaan.

Dalam pada itu katanya, skuad itu juga sudah merangka program latihan khusus sejak tempoh PKP itu yang wajib dilaksanakan pemainnya bagi memastikan tahap kecergasannya berada dalam keadaan baik sebaik liga bersambung semula jika situasi wabak itu reda.

“Sejak tempoh PKP itu, pemain diberikan program latihan khusus yang perlu dilaksanakan di rumah masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 6:47pm
d