arena

'Insya-Allah berilah saya sedikit masa'

Oleh Nazri Abu Bakar

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) yang juga Ketua Menteri (KM), Datuk Sulaiman Md Ali meminta diberi sedikit masa bagi meneliti perjalanan persatuan itu.

Menurutnya yang baru dilantik sebagai presiden selaras perlembagaan MUSA, dia memerlukan sedikit masa untuk melihat semula dan meneliti setiap sudut persatuan terbabit.

Katanya, apa yang perlu diperbaiki akan dibaiki dan dalam masa sama menangani permasalahan dengan berhati-hati untuk kebaikan persatuan.

Beliau mengulas keputusan mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkenaan hukuman pemotongan tiga mata ke atas Melaka.

“Tentulah saya sedih. Malah peminat serta penyokong tegar Melaka lebih kecewa. Begitu juga pemain dan jurulatih yang bertungkus lumus untuk memenangi setiap perlawanan.

“Semua ini adalah akibat kewangan, secara kebetulan pula saya sebagai KM pada ketika ini. Insya-Allah berilah saya sedikit masa melihat semula dan meneliti setiap sudut hal persatuan.

“Apa yang perlu diperbaiki akan dibaiki. Walaupun kedudukan presiden ketika ini dari segi perlembagaannya adalah saya, tetapi ia terpulang kepada saya untuk menentukannya nanti,” katanya.

Beliau berkata, segala permasalahan berkenaan perlu ditangani dengan berhati-hati demi untuk kebaikan MUSA.

Semalam Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim dalam kenyataannya menjelaskan perubahan pucuk kempimpinan diketuai KM, Datuk Sulaiman Md Ali diyakini dapat menyelesaikan segala kekangan dan masalah persatuan terbabit.

Ia ekoran kegagalan persatuan itu menjelaskan tunggakan 2019 yang berbaki RM1.4 juta berikutan kekangan kewangan dihadapi persatuan biarpun sebahagian besar dan penajaan bagi musim 2019 sudah digunakan untuk menjelaskan hutang.

Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 7:16pm
d