arena

Nak tangguh Olimpik pula...

Oleh Reuters

PIHAK penganjur Tokyo 2020 sudah mula melakukan draf kemungkinan yang berlaku jika Sukan Olimpik bermula Julai ini ditangguhkan, dua sumber terdekat mendedahkan perkara itu sekali gus bertentangan dengan pendirian kerajaan Jepun yang menegaskan penangguhan bukanlah pilihan.

Ketika wabak koronavirus (Covid-19) terus mengganggu acara sukan di seluruh dunia, Jepun kekal menegaskan temasya sukan terbesar dunia itu akan tetap dilangsungkan mengikut jadual.

Seorang jurucakap kerajaan Rabu lalu berkata, Tokyo tidak melakukan persediaan untuk menunda temasya itu,

“Akhirnya kami diminta untuk melakukan simulasi jika temasya ini ditangguhkan,” kata satu sumber yang juga pegawai terdekat dengan jawatankuasa penganjur yang terbabit dengan melakukan draf itu.

Kedua-dua sumber itu tidak mempunyai kuasa rasmi untuk bercakap dengan pihak media.

“Kami sedang melakukan pelan alternatif B, C, D. Ia melihat kepada penangguhan dibeberapa waktu tertentu,” kata sumber yang menambah senario itu termasuklah kos yang mungkin ditanggung berikutan penangguhan temasya sukan itu.

Sama ada pihak penganjur Tokyo 2020 atau Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), kedua-dua badan itu tidak memberikan sebarang komen.

Pilihan yang ada ialah menunda temasya itu atau menganjurkannya tanpa kehadiran penonton dan ia akan dibincangkan pada satu mesyuarat yang berlangsung hujung bulan ini, kata sumber.

Sumber kedua pula berkata, soal penangguhan sedang dibincangkan termasuk menangguhkannya antara satu atau dua tahun.

Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 7:31pm
d