arena

Jadikan pengajaran tindakan FAM

Oleh Mohd Rafi Mamat

PEMAIN tengah Melaka United (MU), Ahmad Syamim Yahya agak kecewa apabila pasukannya dikenakan hukuman pemotongan tiga mata oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada saingan Liga Super musim ini.

Menurutnya, kes musim lalu tidak sepatutnya dibawa ke musim ini namun sebagai pemain dia ditetap akur serta menerimanya dengan hati yang terbuka dan berharap ia tidak berulang lagi selepas ini.

Katanya, selepas beraksi empat perlawanan pasukan Melaka United kini mengumpul enam mata, selepas dikenakan hukuman hanya berbaki tiga mata sahaja dan berada di kelompok bawah saingan Liga Super.

“Saya berharap tindakan yang dikenakan FAM tidak mematahkan semangat pemain MU untuk meneruskan perjuangan dalam Liga Super, kebangkitan yang lebih baik perlu dilakukan pada perlawanan seterusnya selepas ini.

“Perasaan kecewa tidak seharusnya terus difikirkan oleh pemain hingga menjejaskan rentak permainan selepas ini sebaliknya perlu menjadi permulaan untuk melakar kejayaan pada perlawanan akan datang,” katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, rasa kecewa bukan sahaja berlaku pada pemain tetapi turut sama dirasai jurulatih Zainal Abidin Hassan dan semua pegawai pasukan musim ini, apa juga alasan pasti tidak akan memberi makna lagi kerana keputusan sudah dijatuhkan.

Ahmad Syamim menambah, hukuman yang dikenakan FAM turut diharap menjadi pengajaran bukan sahaja kepada Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) tetapi juga persatuan bolasepak negeri lain supaya tidak mengambil mudah terhadap gaji pemain, sebagai majikan semua hak pemain perlu disediakan mengikut masa ditetapkan.

“Tindakan tegas FAM keatas MUSA perlu dijadikan pengajaran terutama pada persatuan bolasepak negeri yang masih mempunyai hutang dengan pemain, mereka perlu segera diselesaikan.

“Tidak mustahil selepas ini akan ada persatuan bolasepak negeri menerima hukuman sama,” katanya yang sebelum ini pernah bersama pasukan Felda United, Pahang dan Terengganu.

Kes pemotongan tiga mata oleh FAM keatas MUSA disebabkan kegagalan melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai musim lalu sebanyak RM1.4 juta berikutan kekangan kewangan dihadapi persatuan.

Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 10:39pm
d