arena

Kantung makin kering

Oleh Syazwan Msar

Sekurang-kurangnya lima pasukan Liga Malaysia (Liga M) bakal ‘sengkek’ dalam tempoh beberapa minggu akan datang apabila kantung masing-masing mula kekeringan hingga timbul desas desus ada antaranya sudah ‘sesak’ untuk membayar gaji pemain.

Jika perkara terbabit dibiarkan tanpa sebarang tindakan lanjut kemungkinan Liga M akan bersambung dalam keadaan suram atau mengalami masalah kewangan serius sekali gus gagal memberi saingan kepada pasukan lain.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa berkata, antara yang dilihat kemungkinan menghadapi masalah adalah Kelantan, PDRM, Melaka, Perak dan Terengganu apabila mereka lebih bergantung kepada dana kerajaan negeri atau pihak tertentu untuk meneruskan kelangsungan pasukan.

Beliau berkata, penarikan penajaan dan tiada janaan pendapatan menerusi jualan tiket akibat penundaan Liga M turut menyebabkan kantung kewangan masing-masing semakin kekeringan sekali gus menunggu masa pemain mereka menjadi mangsa tunggakan gaji.

“Situasi ini tidak dapat lari apabila pasukan sudah tiada punca pendapatan dan mengharapkan bantuan dana saja menyebabkan mereka menghadapi masalah kewangan apabila perkara yang dirancang berlaku sebaliknya.

“Saya jangkakan jika penularan wabak Covid-19 masih belum reda dalam tempoh atau dua bulan lagi sudah pasti akan kedengaran pasukan berkenaan berhutang atau gagal menjelaskan tunggakan gaji pemain,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Beliau berkata, anggaran setiap pasukan memerlukan RM100,000 hingga RM300,000 sebulan untuk membayar gaji pemain, pengurusan dan barisan kejurulatihan namun perkara itu agak sukar dilakukan apabila tiada sumber dana yang konsisten.

“Oleh sebab itu, terdapat Persatuan Bolsepak di Eropah menyuntik dana kepada pasukan kecil mereka iaitu kira-kira RM378 juta bagi menangani masalah kewangan pasukan selain bagi memastikan mereka boleh bersaing.

“Liga M pula sudah tentu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berperanan memikirkan insentif kepada pasukan sebagai saingan bermula nanti supaya mereka tidaklah terlalu terbeban dengan masalah kewangan.

“Pasukan berkaitan tidak boleh dipersalahkan atau terus menuding jari kepada mereka kerana kebanyakannya bergantung kepada dana kerajaan negeri atau penajaan semata-mata tanpa boleh menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 6:00am
d