arena

Setuju tapi biarlah Covid-19 reda dulu : Futra

Oleh Malik Muhamad

KETUA jurulatih pasukan sepak takraw Terengganu Turtles, Mohd Futra Abd Ghani, menyambut baik keputusan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) ingin meneruskan Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) yang dijadualkan pada Ogos ini.

Bagaimanapun bekas perejam skuad emas kebangsaan itu bersetuju kejohanan berkenaan diteruskan sekiranya penularan wabak koronavirus (Covid-19) sudah berakhir kerana baginya nyawa pemainnya menjadi keutamaan berbanding penyertaan.

"Saya difahamkan pihak PSM akan tetap meneruskan kejohanan STL itu, mungkin perancangan lebih awal sudah dilakukan kerana ia memerlukan persiapan yang rapi.

"Walau bagaimanapun kejohanan ini bergantung juga keputusan daripada kerajaan sama ada akan diteruskan atau sebaliknya kerana situasi sekarang di mana Covid-19 masih lagi meningkat.

"Bagi saya jika wabak ini belum berakhir lebih baik ia tidak diteruskan walaupun dilangsungkan di dalam stadium tertutup kerana kemeriahannya kurang tanpa sokongan peminat lagipun pemain sudah tentu tidak fokus kerana bimbang," tambah Futra.

Semalam Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail menyatakan STL yang dijadualkan bermula 15 Ogos ini dengan Kelantan menjadi tuan rumah pada minggu pertama akan tetap diteruskan mengikut jadual.

Namun beliau menegaskan keputusan muktamad juga bergantung kepada situasi semasa Covid-19 dan arahan daripada pihak kerajaan.

Dalam pada itu, Futra merayu orang ramai supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan bagi membendung penularan wabak itu yang kini sudah mengorbankan sepuluh nyawa rakyat Malaysia.

Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 10:20am
d