arena

Khalid demam biasa, bukan Covid-19

Oleh Syazwan Msar

“SAYA hanya demam biasa bukan dijangkiti Covid-19.”

Itu penjelasan bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Perak, Khalid Jamlus sekali gus menafikan dia dijangkiti wabak terbabit hingga terpaksa menjalani rawatan susulan di sebuah hospital.

Khalid berkata, dia mengakui sebelum ini menghidap demam panas hingga menjangkau suhu 38.8 darjah celcius dan mengalami kesukaran bernafas sebelum melakukan pemeriksaan lanjut di klinik swasta.

Katanya, doktor mengesahkan dia hanya demam biasa dan perlu berehat di rumah hingga keadaan kesihatan beransur pulih.

“Jika diikutkan memanglah takut mungkin dijangkiti Covid-19 namun alhamdulillah doktor sahkan hanya demam biasa dan perlu banyak berehat.

“Sekarang ini keadaan kesihatan beransur pulih dan hanya duduk di rumah seperti yang disarankan oleh pihak berkuasa.

“Ramai yang bertanya mengenai keadaan kesihatan saya dan mereka bimbang terkena jangkitan Covid-19,” katanya ketika dihubungi Arena Metro

Sebelum ini terdapat desas-desus mengatakan pemenang kasut emas 2002 itu terkena jangkitan Covid-19 seterusnya mendapat rawatan susulan di sebuah hospital di Klang.

Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 6:58pm
d