arena

Kekal semangat meskipun tak pasti status Olimpik

Oleh Mohd Amin Jalil

KEAZAMAN dua pelayar negara, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali tetap tinggi untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo biarpun tarikh temasya yang sepatutnya bermula Julai depan, belum dapat dipastikan.

Nuraisyah, 23, dan Juni Karimah, 18, akan bergandingan dalam kategori International 470 pada temasya berprestij itu yang dijadualkan berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos.

Nuraisyah dari Johor Bahru berkata, ketika ini dia terpaksa melakukan latihan sendiri di rumahnya di Johor Bahru, susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 hingga 31 Mac ini, bagi mengekang penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

“Kami tidak dapat melakukan latihan di laut kerana arahan perintah kawalan pergerakan bermula sejak 18 Mac lalu dan ketika ini latihan kecergasan dilakukan di rumah.

“Jurulatih sudah menyediakan jadual latihan khusus yang perlu dilakukan setiap atlet perahu layar di rumah masing-masing dan kami perlu mematuhi arahan itu untuk memastikan tahap kecergasan yang memuaskan.

“Setiap hari antara dua hingga tiga jam saya lakukan latihan kecergasan dan rakaman video dibuat untuk dihantar kepada jurulatih, yang sentiasa memantau perkembangan atlet,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Juni Karimah juga akui tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan tahap kecergasannya biarpun hanya menjalani latihan di rumah.

Menurut atlet berasal dari Langkawi itu, dia perlu memastikan tahap kecergasannya ditahap yang terbaik kerana cabaran di Sukan Olimpik sangat mencabar dan sukar.

“Ini adalah julungkali saya layak ke Sukan Olimpik dan perlu buat persiapan rapi dari segala aspek. Namun susulan wabak Covid-19 ini, kami terpaksa menjalani latihan yang terhad kerana arahan PKP.

“Begitupun ia tidak jadi masalah bagi saya kerana yang lebih utama adalah kesihatan diri. Apapun, semangat saya tetap tinggi untuk beraksi di temasya Olimpik kerana peluang terbaik untuk menimba pengalaman berharga,” katanya.

Nuraisyah dan Juni Karimah menempah tiket ke temasya sukan terbesar dunia itu selepas mereka menduduki tempat kelima keseluruhan dalam perlumbaan kategori Int 470 pada Kejohanan Perahu Layar 470 Antarabangsa Asia 2019.

Dalam laporan terbaru, badan sukan dan atlet di seluruh dunia menggesa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menangguhkan temasya itu, susulan kebimbangan terhadap risiko yang bakal dihadapi selepas kematian akibat Covid-19 mencecah lebih 13,000.

IOC menyatakan bahawa penangguhan Olimpik 2020 antara pilihan yang dipertimbangkan akibat pandemik COVID-19, tetapi pembatalan temasya yang akan berlangsung di Tokyo itu tiada dalam agenda mereka.

Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 7:31pm
d