arena

Mickey berlatih di rumah sejam sehari

Oleh Mohd Rafi Mamat

MELAKUKAN latihan kecergasan didalam kawasan rumah selama sejam setiap hari sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah rutin pemain lincah Pahang, Faisal Abdul Halim.

Menurut pemain kelahiran Pulau Pinang itu, walaupun tidak dibenarkan keluar rumah, itu tidak bermakna dia perlu berehat, bersenang lenang dan tidur sepanjang hari hingga menjejaskan kecergasan yang dibina sebelum ini.

Katanya, dua minggu tanpa latihan di padang pasti akan menjejaskan kecergasan dan bagi memastikan perkara berkenaan tidak berlaku senaman ringan perlu dilakukan setiap hari selama sejam.

“Pelbagai teknik senaman dilakukan dalam usaha mengekalkan kecergasan, walaupun kelihatan mudah dan ringkas namun yang penting ia dapat mengeluarkan peluh selain kekal cergas sama seperti sebelum ini.

“Saya perlu displinkan diri untuk mengadakan latihan selama sejam setiap hari samada waktu pagi atau petang. Bola sepak adalah kerjaya saya dan usaha mengekalkan prestasi perlu dilakukan,” katanya berharap dapat terus mengekalkan prestasi yang dimiliki sebelum ini.

Dia yakin semua pemain bola sepak tempatan dan luar negara yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) mengadakan latihan kecergasan di rumah sepanjang PKP disebabkan penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara kini.

Faisal atau lebih terkenal dengan panggilan Mickey berkata, sebelum ini jurulatih Pahang, Dollah Salleh beberapa kali berpesan kepada pemain Tok Gajah supaya dapat mengekalkan kecergasan dengan mengadakan apa juga jenis latihan di rumah.

Katanya, banyak jenis latihan ringan boleh diadakan rumah yang penting dapat dilakukan secara berterusan setiap hari, tanpa kecergasan corak permainan sebenar tidak dapat dipamerkan dengan berkesan.

“Saya bimbang tempoh PKP dilanjutkan lagi hingga menyebabkan lebih lama lagi pemain berada di rumah dan jadual Liga M banyak akan berubah.

“Untuk menyekat penularan Covid-19 saya merayu kepada rakyat negara ini supaya mematuhi arahan kerajaan dengan tidak keluar rumah sekiranya tidak ada urusan penting seperti membeli makanan,” katanya yang berharap kebangkitan Tok Gajah sebelum ini dapat terus kekal apabila Liga Super bermula.

Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 1:25pm
d