arena

Sazali sediakan jadual latihan khas

Oleh Mohd Amin Jalil

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) menerusi jurulatih pasukan menyediakan jadual latihan khas bagi diikuti pemain sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Latihan fizikal itu perlu dilakukan setiap pemain skuad Liga Perdana dan Piala Presiden, untuk memastikan tahap kecergasan mereka tidak terjejas susulan tiada latihan di padang dilakukan.

Ketua jurulatih skuad Liga Perdana, Sazali Saidun berkata, jadual latihan itu yang memberi fokus kepada kecergasan fizikal perlu dilakukan setiap pemain di rumah masing-masing.

Katanya, ia bertujuan untuk memastikan pemain bukan sahaja sentiasa cergas tetapi penting untuk menentukan berat badan mereka kekal baik.

“Sebagai pemain profesional, setiap pemain diwajibkan melakukan latihan itu untuk satu tempoh tertentu setiap hari, supaya tahap kecergasan mereka kekal baik.

“Jurulatih akan terus memantau setiap pemain dan sebagai pemain profesional, mereka arif tentang keperluan berada dalam tahap kecergasan terbaik serta keadaan berat badan yang stabil.

“Saya fikir semua pasukan melakukan perkara yang sama kerana ia amat penting untuk pasukan bersedia meneruskan cabaran dalam liga dan Piala FA, sebaik ia kembali diteruskan nanti,” katanya di sini, hari ini.

Sazali yang baharu menggalas tanggungjawab selaku pengendali skuad Hobin Jang Hobin musim ini, amat sedar tugasnya ketika ini penuh berliku dalam usaha mengembalikan semula reputasi pasukan itu yang tercalar.

“Memang suatu yang mengecewakan jika melihat kepada keputusan yang kami capai dalam liga setakat ini apabila hanya menang sekali dalam empat perlawanan.

“Kami tidak boleh cepat putus asa dan usaha perlu dilakukan apabila liga bersambung semula nanti kerana saya ingin melihat Negeri Sembilan dapat bangkit mencatat kemenangan,” kata pengendali berasal dari Johor itu.

Skuad Rusa memulakan saingan Liga Malaysia musim ini dengan kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 1-3, disusuli tunduk kepada Kuala Lumpur dan Kelantan United, 1-3 dan 0-3, manakala merekodkan kemenangan pertama ke atas UKM FC, 2-0.

Ketika ini Negeri Sembilan yang pernah menjulang Piala Malaysia dua kali pada 2009 dan 2011, menduduki tangga ke-10 daripada 12 pasukan dalam carta Liga Perdana, suatu kedudukan yang dilihat sukar untuk mencabar pasukan lain jika tiada peningkatan prestasi dipamerkan pemain dan kemenangan dicapai dalam perlawanan akan datang.

Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 3:33pm
d