arena

Stadium Shah Alam ada aura tersendiri

Oleh Firdaus Hashim

PENGENDALI Selangor, B Sathianathan berharap skuad kendaliannya tidak lagi terpaksa 'menumpang' venue lain apabila tiba giliran mereka menjadi tuan rumah sebaik saingan Liga Super bersambung semula.

Ketika ini, kempen liga domestik terpaksa ditangguhkan susulan penularan wabak Covid-19 yang boleh mengancam nyawa pemain, pegawai dan penyokong bola sepak.

Katanya, larangan penggunaan Stadium Shah Alam oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ekoran kerosakan bumbung yang boleh membahayakan penyokong dilihat sudah berakhir apabila bahagian yang bocor, retak mahupun serpihan pecah sudah dibuang.

"Kita harap Stadium Shah Alam dapat digunakan kembali kerana ia stadium keramat bagi pasukan Selangor.

"Lagipun, dalam empat aksi liga sebelum ditunda, kita main tiga perlawanan di tempat lawan dan satu aksi terpaksa menumpang Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Apabila kita kerap bertandang ke tempat lawan, ia kadang kala memberi kesan daripada sudut kepenatan tapi pemain tetap bersikap positif apabila selalu memberikan aksi terbaik setiap perlawanan. Kalau dapat beraksi di tempat sendiri, saya percaya keyakinan pemain akan bertambah dan ia juga memberi kemudahan baik kepada penyokong," katanya kepada Arena Metro, hari ini.

Menerusi laporan akhbar ini kelmarin, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon mengesahkan kerosakan bumbung di Stadium Shah Alam sudah diatasi dan kini venue berkenaan sudah bersedia untuk menyambut 'kepulangan' skuad Red Giants apabila tempoh penangguhan liga berakhir nanti.

Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 6:35pm
d