arena

Perlu ambil serius - Malek Noor

Oleh Malik Muhamad

BIMBANG penularan wabak Covid-19 daripada terus merebak, bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor tampil merayu masyarakat memberi kerjasama sepenuhnya kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain perlu mengambil serius bagi memastikan rantaian wabak itu dapat dihentikan dengan seberapa segera.

Bekas juara Asia sebanyak enam kali dalam kategori ‘heavyweight’ itu juga turut merayu jemaah tabligh yang menyertai ijtimak di Masjid Sri Petaling pada akhir Februari lalu yang belum lagi membuat saringan Covid-19 supaya tampil berbuat demikian dengan segera.

Malek atau nama sebenarnya Abdul Malek Mohamed Noor berkata, perkara itu perlu diambil serius bagi menyelamatkan nyawa masyarakat daripada terkena dengan jangkitan wabak pandemik itu.

“Saya minta rakyat Malaysia supaya memberi kerjasama sepenuhnya dengan mengikut PKP yang dikeluarkan kerajaan bagi membendung penularan wabak itu dengan cepat.

“Saya juga turut mengajak semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama sama-sama memohon bagi memulihkan kembali keadaan negara seperti sebelum ini selain mengharapkan kita sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah.

“Buat jemaah tabligh dan mereka yang mempunyai tanda-tanda awal wabak itu, kami tidak menyalahkan anda, kami semua sayangkan anda dan keluarga, tapi bagi yang belum menjalani saringan Covid-19 ini, segeralah tampil dengan penuh keikhlasan bagi membendung wabak itu daripada terus merebak.

“Kita semua akan menemui Allah jika ditakdirkan...tapi kita semua mempunyai keluarga, sahabat handai dan saudara mara, ini semua untuk keselamatan umum dan tanggungjawab kita bersama, saya rayu selamatkanlah mereka.

“Kepada ahli keluarga yang menghadapi ujian berikutan wabak Covid-19 dan mereka yang kehilangan insan tersayang bersabarlah dan redalah dengan ketentuan Ilahi ini.

“Saya juga menyeru kepada semua ahli Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan ahli sukan negara supaya patuh kepada PKP dengan tidak melakukan aktiviti di luar rumah sebaliknya melakukan senaman di kediaman masing-masing walaupun kita tahu setiap atlet mahu memastikan kecergasan mereka sentiasa berada pada tahap terbaik,” ujar bekas pengerusi YAKEB itu yang juga pernah membintangi beberapa filem.

Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 2:22pm
d