arena

Pemain perlu akur gaji dipotong

Oleh Mohd Rafi Mamat

SEMUA pemain perlu akur dan bersabar sekiranya majikan mereka mengambil tindakan drastik dengan memotong gaji berikutan keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April depan.

Banyak persatuan bola sepak negeri dan kelab yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini terjejas sumber pendapatan kerana perlawanan tidak dapat diadakan mengikut jadual.

Bekas pemain kebangsaaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berpendapat, suka atau tidak pemain perlu menerima hakikat bahawa sumber pendapatan majikan mereka kini terjejas teruk dan episod pemotongan gaji perlu dan pasti berlaku.

Menurutnya, pemotongan gaji tidak mungkin berlaku ketika PKP selama dua minggu (18-31 Mac) kerana mungkin persatuan bola sepak negeri dan kelab masih lagi boleh menggunakan wang simpanan yang ada.

“Apabila kerajaan terpaksa melanjutkan PKP hingga 14 April depan yang pasti agak sukar persatuan bola sepak negeri dan kelab untuk menyediakan sumber kewangan yang banyak sedangkan wang masuk tiada.
|

“Pemain perlu berkorban sekiranya majikan mereka mengambil keputusan memotong gaji mereka, walaupun pahit untuk diterima pemain tetap perlu menerimanya dengan hati yang terbuka.

“Semua pihak tidak menjangka wabak Covid-19 boleh berlaku bukan sahaja di negara ini malah hampir seluruh dunia,” katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, pemotongan gaji mungkin tidak berlaku pada beberapa persatuan bolasepak negeri yang sumber kewangan mereka kukuh seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang dan Selangor.

Jamal Nasir berkata, kini difahamkan terdapat sudah terdapat beberapa persatuan bola sepak negeri mendakwa sumber kewangan mereka semakin meruncing disebabkan pelbagai faktor.

Tegasnya, kerajaan melanjutkan PKP bagi memutuskan rangkaian virus Covid-19 yang terlalu mudah berjangkit, walaupun berhadapan dengan kesukaran namun kerajaan terpaksa melaksanakan demi kepentingan rakyat yang terdedah dengan wabak itu.

Katanya, sebagai contoh sekiranya kerajaan tetap dengan keputusan menamatkan PKP pada 31 Mac ini tidak mustahil wabak Covid-19 menjadi bertambah serius dan banyak kematian akan dicatat seluruh negara.

“Saya berharap pemain dan rakyat dapat terus bersabar dengan ujian yang kali pertama pernah dilalui ini, banyak berdoa mohon pertolongan dengan Allah semoga wabak Covid-19 segera hapus.

“Semua pihak perlu ikut arahan kerajaan yang ingin melihat semua rakyat berada dalam rumah, keluar hanya perlu sahaja,” katanya yang menyokong tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang pada pihak degil.

Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 4:17pm
d