arena

Sukma Johor ditangguh [METROTV]

Oleh Aida Adilah Mat

TEMASYA Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma Johor turut terkena tempias penularan wabak Covid-19 apabila Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memutuskan penundaan temasya itu.

Keputusan itu dicapai selepas mengadakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma secara sidang video bersama semua Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang terdiri dari 14 Exco termasuk Johor selaku tuan rumah.

Turut sama pada mesyuarat itu Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara dan Sekretariat Sukan Malaysia Johor.

Reezal memaklumkan bahawa jawatankuasa tertinggi Sukma dengan sebulat suara bersetuju menangguhkan temasya itu ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

“Keputusan diambil selepas mengambil kira aspek yang paling utama iaitu keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih, pegawai dan semua yang terbabit pada temasya itu nanti.

“Mesyuarat juga mengenalpasti dua cadangan tarikh yang menjadi pilihan majoriti iaitu pada Disember 2020 ataupun dianjakkan ke tahun 2021 berdasarkan beberapa faktor antaranya pemantauan perkembangan Covid-19, tiada pertindihan dengan tarikh penting seperti peperiksaan awam atau sukan utama selain meneliti dan mengambil kira kepentingan semua pemegang taruh,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan tarikh baru akan diputuskan secepat yang mungkin iaitu pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang akan datang, selewat-lewatnya pada awal bulan Mei 2020.

Mengulas mengenai perkembangan terkini Olimpik Tokyo 2020, Reezal menyambut baik keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jepun menunda temasya itu selepas mengambil kira situasi semasa Covid-19 atas kepentingan menjaga keselamatan dan kesihatan atlet dan semua yang terbabit.

Justeru KBS dan MOM akan bekerjasama rapat untuk meneliti implikasi-implikasi keputusan tersebut ke atas atlet dalam masa yang terdekat ini.

Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 7:07pm
d