arena

Peluang perbaiki kelemahan

Oleh BERNAMA

PENANGGUHAN Sukan Olimpik 2020 ke tahun depan memberi peluang terbaik kepada atlet pelayaran negara Khairulnizam Mohd Affendy untuk meningkatkan kemahiran dalam berdepan angin kencang dan teknik perlumbaan yang sengit di Tokyo kelak.

Pelayar elit berusia 26 tahun yang bakal membuat penampilan ketiga pada temasya sukan terbesar di dunia itu mengakui, persiapannya terganggu sejak penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia, sehingga memaksa beliau membatalkan latihan di Eropah.

“Disebabkan penularan wabak Covid-19, latihan kita terpaksa ditangguhkan. Saya sudah tidak berada di lapangan sejak kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan. Sebelum itu, kami juga terpaksa membatalkan latihan intensif di Eropah.

“Sepatutnya sekarang kami di Eropah untuk membiasakan diri dengan keadaan angin kencang seperti di venue pertandingan nanti, dan akan kembali berlatih di Malaysia sebelum bulan Ramadan ini.

“Namun, saya kira bukan kita sahaja yang terkesan, atlet negara lain pun sama. Wabak Covid-19 ini adalah isu global. Jadi semua dapat kelebihan daripada keputusan penangguhan Sukan Olimpik ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 pada Selasa, mengambil keputusan untuk menangguhkan Sukan Olimpik 2020 dan Sukan Paralimpik 2020, sehingga ke tahun depan.

Keputusan itu dipersetujui menerusi sidang video yang diadakan di antara Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan Presiden IOC Thomas Bach, susulan penularan pandemik Covid-19.

Sukan Olimpik 2020 dijadual berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos ini, manakala Sukan Paralimpik bermula 25 Ogos hingga 6 Sept.

Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 9:02pm
d