arena

Yakin kemampuan pemain tempatan

Oleh Mohd Amin Jalil

PERSATUAN Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) membuat keputusan drastik apabila tidak menggunakan khidmat pemain import, bagi mengharungi kempen Liga Premier Sepak Takraw League (STL) 2020, musim ini.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati sumbangan pemain import dari Thailand yang diserapkan dalam pasukan Negeri Sembilan Antlers (NS Antlers) musim lalu, kurang berkesan.

Presiden Pestans, Wan Mohd Husni Abdullah berkata, pasukan itu akan menggunakan sepenuhnya tenaga tempatan pada saingan yang dijadual bermula di Kelantan, pertengahan Ogos depan.

Katanya, selain bagi mengurangkan kos dalam menyediakan pasukan, tindakan itu juga atas keyakinan yang tinggi terhadap kemampuan pemain tempatan dalam menyumbang kepada kejayaan Negeri Sembilan Antlers musim lalu.

“Kita (Pestans) sudah buat keputusan tak ambil pemain import tahun ini dan akan guna sepenuhnya pemain tempatan. Kita sudah bentuk pasukan termasuk membawa dua pemain baharu selain mengekalkan empat pemain lama.

“Kita yakin dengan barisan pemain yang disenaraikan kali ini untuk terus memberikan cabaran dan seterusnya mengekalkan dalam kelompok terbaik saingan STL Champions Cup.

“Selain layak ke STL Champion Cup, kami juga sasarkan berada dalam kelompok lima terbaik keseluruhan, tahun ini,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Husni berkata, latihan pasukan sudah bermula sejak Februari lalu, namun ketika ini pemain hanya menjalani latihan di rumah masing-masing susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pemain kebangsaan, Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar yang mengalami kecederaan ketika beraksi di Sukan SEA di Filipina tahun lalu, dilantik sebagai pengurus pasukan,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 9:38pm
d