arena

Coutinho merana selepas tinggalkan Liverpool

Oleh Agensi

BARCELONA dilaporkan tidak dapat mencari kelab yang sanggup membeli Philippe Coutinho pada harga sesuai.

Manchester United, Arsenal, Chelsea dan Tottenham antara kelab yang dikaitkan dengan bekas pemain tengah Liverpool.

Gergasi Sepanyol itu dilaporkan mahu sekurang-kurangnya £72 juta (RM371 juta) untuk mereka menjual pemain berusia 27 tahun itu pada musim panas ini.

Tapi menurut Marca, Barcelona “tidak dapat mencari kelab” yang sanggup memenuhi tuntutan harga yang diminta kelab itu.

Coutinho gagal menyesuaikan diri seperti diharapkan di Nou Camp sejak perpindahan £142 juta (RM732.8 juta) dari Liverpool pada 2018.

Ketika terdesak untuk menyerlahkan semula kariernya, pemain kelahiran Brazil itu bertindak keluar dari kelab itu dengan perjanjian pinjaman ke Bayern Munich musim ini.

Namun Bayern mungkin tidak akan mengambil pilihan untuk menandatangani pemain itu secara tetap pada penghujung musim ini.

Dia sudah menjaringkan sembilan gol dan membantu kepada menghasilkan jaringan sebanyak lapan kali dalam semua kejohanan tapi gergasi Bundesliga merancang untuk menghantarnya semula ke Barca.

Dilaporkan Barcelona mungkin meminjamkannya untuk satu musim lagi jika mereka tidak dapat menjual pemain itu pada musim panas ini.

Coutinho tidak menolak kemungkinan kembali ke Liverpool, tapi dia menarik minat beberapa kelab di Liga Perdana Inggeris.

Arsenal dan Spurs antara kelab terbaru menyertai perlumbaan untuk mendapatkan tandatangan pemain itu pada musim panas ini disamping Chelsea dan United.

Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 2:15pm
d