arena

Tarikh baharu Sukma diketahui dalam masa terdekat

Oleh Mohamed Farid Noh

TARIKH baharu bagi Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 akan diumumkan secepat mungkin dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata tarikh baharu itu akan mengambil kira kepentingan semua pemegang taruh bagi memastikan ia sesuai tanpa pertindihan dengan tarikh penting di samping perkembangan semasa wabak Covid-19.

"Wabak Covid-19 menjadi ancaman kepada keselamatan dan kesihatan semua pihak yang terbabit dalam proses menjayakan Sukma Johor 2020.

"Oleh yang demikian, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia dengan sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan Sukma Johor 2020 ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

"Tarikh baru bagi Sukma Johor 2020 akan diumumkan secepat mungkin malah Johor sebagai tuan rumah akan senantiasa bersedia dalam memastikan penganjuran Sukma Johor 2020 mencapai piawaian penganjurannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan Sukma Johor 2020 ditangguhkan susulan penularan wabak Covid-19.

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma menerusi sidang video, petang semalam dengan tarikh baharu temasya dwitahunan itu akan diputuskan selewat-lewatnya pada awal Mei ini.

Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 2:24pm
d