arena

Kaji semula had umur

Oleh Malik Muhamad

BEKAS jaguh pecut negara, Nazmizan Muhammad mengakui keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menangguhkan Sukan Malaysia (Sukma) yang sepatutnya berlangsung pada Julai 2020 di Johor adalah langkah tepat demi keselamatan dan kesihatan semua kontinjen sukan dwitahunan terbesar negara itu.

Namun bekas raja pecut Asia Tenggara itu mahu KBS memperhalusi semula had kelayakan atlet yang bakal bertanding dalam sukan itu sekiranya sukan edisi ke-20 itu terpaksa ditangguhkan pada tahun depan.

Beliau yang kini berjawatan sebagai Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata, jika syarat kelayakan atlet bertanding kekal bawah 21 tahun dan sah bakal dilangsung musim depan, ia bakal menimbulkan kontroversi kepada semua kontinjen pasukan yang bertanding.

“Jika tangguh pada Disember ini sebagaimana cadangan ahli mesyuarat saya rasa tidak timbul masalah besar, tapi jika ditunda tahun depan, syarat kelayakan umur atlet perlu dikaji dan diperhalusi semula bagi mengelak timbul rasa tidak puas hati dan kerugian kepada pasukan yang sudah kehabisan jutaan ringgit dalam menyediakan pelan pembangunan kepada atlet mereka.

“Jika tahun ini umur atlet itu sudah 21 tahun, sudah pasti mereka tidak dapat beraksi tahun depan kerana syarat sukan itu bawah 21 tahun, ini yang akan menimbulkan suasana tidak sihat bukan kepada pasukan bertanding malah atlet itu sendiri kerana mereka adalah harapan kontinjen untuk mengutip kilauan pingat.

“Justeru KBS dan Jawatankuasa Tertinggi Sukma perlu membuat keputusan segera dengan membenarkan atlet berkenaan beraksi walaupun dilangsungkan pada tahun depan ataupun 2022,” katanya.

Mengenai prestasi atlet Sukma berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), atlet kelahiran Kampung Durian Mentangau, Dungun itu akui periodisasi latihan yang dirancang jurulatih perlu banyak diubah kerana atlet tidak dapat menjalani latihan seperti biasa berikutan tempoh PKP itu susulan Covid-19.

“Langkah penangguhan ini adalah tindakan bijak dan tepat kerana pastinya atlet turut terasa tempiasnya dan bimbang penularan wabak pandemik itu.

“Tapi prestasi atlet dijangka sedikit menurun disebabkan latihan yang tidak sistematik kerana mereka hanya mampu lakukan latihan terhad di rumah, jika lebih lama lagi tempoh PKP, ia mengambil masa lagi buat atlet untuk kembali ke tahap terbaik.

“Malah psikologi atlet juga pasti merosot dalam menghadapi situasi ini apatah lagi harapan tinggi disandarkan kepada mereka.

“Justeru kaunselor dan jurulatih perlu memainkan peranan penting dalam memastikan semangat, keinginan, latihan, emosi dan fizikal atlet berada pada tahap terbaik walaupun terpaksa menjalani latihan sendiri di kediaman masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 7:13pm
d