arena

Wark terpaksa tangguh majlis perkahwinan

Oleh Malik Muhamad

PEMAIN berdarah campuran Malaysia-Scotland, Stuart Wark mengakui begitu merindui keluarganya di Scotland dan berhasrat untuk pulang berjumpa dengan insan tersayang.

Perancang skuad Terengganu FC (TFC) itu berkata, dia pasrah dengan situasi terkini dan melupakan seketika hasrat itu sambil mengakui tidak mempunyai perancangan untuk pulang pada masa ini selepas dunia kini dilanda wabak Covid-19 termasuk Malaysia.

Namun pada masa sama pemain yang mampu beraksi di posisi pertahanan itu tanpa berselindung turut melahirkan kebimbangan dengan keadaan keluarganya ketika pandemik itu semakin menular.

Wark juga mengakui majlis perkahwinannya yang dijangka bakal berlangsung pada tahun ini mungkin terpaksa ditangguhkan pada tarikh yang belum diketahui lagi berikutan wabak Covid-19 itu.

Pemain berusia 31 tahun itu yang pernah menyarung jersi skuad Johor Darul Ta'zim II, Sabah, Pulau Pinang, Felda United dan PDRM itu juga memuji dan akur dengan tindakan kerajaan Malaysia yang disifatkan begitu tepat mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan dan menyekat rantaian wabak itu daripada terus merebak.

“Keluarga saya kini menetap di Scotland, ibu kini berada berhampiran dengan Glasgow manakala bapa pula di bandar Perth. Melihat situasi melanda dunia sekarang dengan penularan wabak Covid-19 sudah tentu risau keadaan mereka di sana, tapi mereka berada dalam keadaan baik.

“Tapi pada masa sama saya sedar dan sudah ingatkan pada diri sendiri dan keluarga supaya sentiasa berjaga-jaga dengan pandemik ini yang semakin membimbangkan dunia, mungkin saya terpaksa tangguhkan dulu perkahwinan saya pada tahun ini jika wabak ini belum reda.

“Mengenai tindakan kerajaan melaksanakan tempoh PKP itu adalah langkah yang begitu tepat dan wajar, jika semua penduduk yang menetap di Malaysia mengikut PKP itu dan polisi yang diarahkan kerajaan, pastinya wabak itu akan dapat dibendung dan kita kembali menjalani kehidupan normal seperti sebelum ini.

“Justeru saya menyeru kita semua supaya berada di kediaman masing-masing dan mengikut panduan yang sudah digariskan selain berhati-hati dengan penularan wabak Covid-19 ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 7:40pm
d