arena

Jangan nak 'buat' lemak...

Oleh Firdaus Hashim

PEMAIN Selangor terpaksa mengawal nafsu makan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya tidak mahu berdepan pemotongan elaun.

Menurut pengendali Red Giants, B Sathianathan, hukuman pemotongan elaun itu sememangnya ada dalam kontrak pemain dan mereka harus sedar peraturan itu.

Jelasnya, pemain perlu mengekalkan kecergasan mereka dengan membuat aktiviti senaman yang sudah dirangka oleh pengurusan pasukan terhadap pemain.

Katanya, apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) bersambung, kecergasan pemain akan dinilai termasuk berat badan.

“Saya tak beri apa-apa denda atau peringatan kepada pemain kerana di dalam kontrak memang diwajibkan untuk mereka sentiasa kekal cergas dan menjaga berat badan.

“Kalau berat badan naik dalam tempoh ini (PKP), elaun mereka boleh dipotong oleh pengurusan pasukan kerana tidak mematuhi peraturan pasukan.

“Tapi, saya percaya pemain tahu apa yang perlu dilakukan. Malah, setiap hari mereka harus berkongsi video latihan di rumah untuk rekod pasukan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Kelmarin, kerajaan melanjutkan tempoh PKP sehingga 14 April ini sekali gus menyaksikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) turut menangguhkan saingan Liga M yang mula dihentikan pada 16 Mac lalu.

Selangor kini menghuni kedudukan keenam liga selepas Melaka dipotong tiga mata kerana gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang ditetapkan.

Pasukan Red Giants itu mengumpul lima mata selepas empat perlawanan. Perlawanan terakhir pasukan itu adalah pada 15 Mac lalu yang menyaksikan mereka tewas kepada Kedah 0-2.

Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 6:00am
d