arena

Simpan Piala Malaysia tahun ini

Oleh Mohd Rafi Mamat

BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail membayangkan saingan Piala Malaysia musim ini tidak dapat diadakan berikutan kesuntukan masa selepas penangguhan Liga Malaysia (Liga M) yang panjang.

Walaupun sukar untuk diterima peminat bola sepak tempatan namun itulah hakikat yang terpaksa dilalui berikutan penularan wabak Covid-19 hingga memaksa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menangguhkan semua pertandingan bola sepak dan futsal peringkat kebangsaan.

Menurut Jamal Nasir, sejarah mungkin tercatat tahun ini apabila buat pertama kalinya saingan Piala Malaysia yang tersohor peringkat Asia tidak dapat diadakan di hujung musim seperti dijadualkan.

Katanya, selepas selesai saingan Liga Super disambung perebutan Piala FA, walaupun sedikit masa berbaki dihujung tahun namun pemain perlu berehat seketika sebelum memasuki musim baru 2021.

“Saya tidak terkejut sekiranya saingan Piala Malaysia musim ini tidak dapat diadakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama sebulan yang memaksa banyak perlawanan Liga Super ditangguhkan.

“Sekiranya saingan Piala Malaysia tetap ingin diadakan beberapa masalah akan timbul terutama membabitkan kontrak pemain yang akan tamat pada 30 November sedangkan perlawanan berlanjutan hingga Disember.

“FAM sebagai badan induk bola sepak negara perlu memikirkan sesuatu mencari jalan menyelesaikan masalah yang dihadapi,” katanya, di sini hari ini.

Beliau, secara peribadi tidak ada sebarang masalah sekiranya saingan Piala Malaysia tidak dapat diadakan tahun ini, bukan salah FAM membatalkannya tetapi disebabkan faktor keselamatan dan kesihatan.

Jamal Nasir berkata, wabak Covid-19 membuatkan semua aktiviti sukan tertangguh dan ada juga dibatalkan terus, sebagai contoh Sukan Olimpik 2020 yang dijadualkan diadakan Jepun terpaksa tukar tarikhnya kepada tahun depan.

Katanya, tahun ini boleh dikatakan tahun suram dan lesu buat semua acara sukan di negara ini termasuk seluruh dunia, tempiasnya pasti dirasai golongan pemain serta atlet yang akan merosot sumber pendapatan mereka.

“Bagi pemain bola sepak tempatan mereka perlu reda sekiranya gaji dipotong, bagi pihak majikan berunding dahulu sebelum membuat keputusan kerana ia membabitkan periuk nasi seseorang yang terpaksa menyara keluarga dan membayar hutang,” katanya.

Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 7:22pm
d