arena

Impian emas terbantut

Oleh Syazwan Msar

IMPIAN kontinjen negara untuk meraih emas sulung dalam temasya Olimpik mungkin terbantut pada edisi Tokyo berikutan faktor wabak Covid-19.

Ini berikutan semua atlet yang bakal bertanding di Tokyo tahun depan perlu bermula daripada awal membabitkan latihan dan gerak kerja lain selepas momentum mereka terganggu akbiat penularan wabak itu.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, situasi genting sekarang ini sudah tentu mengganggu perancangan dan prestasi atlet yang masing-masing giat serta bersemangat memberikan prestasi terbaik pada temasya empat tahun sekali itu.

Beliau berkata, garisan panduan latihan yang disediakan kepada atlet ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak mencukupi, malah ia tidak mampu untuk mengekalkan momentum atlet supaya terus kekal dalam prestasi terbaik sebagai persediaan ke temasya Olimpik.

“Saya boleh katakan ketika ini sukan adalah perkara nombor dua kerana masing-masing sibuk mengharungi cabaran menangani wabak Covid-19 yang melanda negara.

“Perkara penting adalah atlet jaga keselamatan dan kesihatan mereka, malah jika berlatih sekarang ini pun belum tentu dapat mengekalkan prestasi pada tahap optimum.

“Sebagai contoh untuk acara berbasikal, gimnastik dan renang yang memerlukan latihan di lapangan seterusnya tidak cukup hanya melakukan aktiviti pemanas badan di rumah sepanjang tempoh PKP,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 mengumumkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 ditangguhkan ke tahun depan berikutan pandemik global Covid-19.

Keputusan itu dipersetujui selepas perbualan telefon antara Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Presiden IOC, Thomas Bach berdasarkan krisis global semasa dan maklumat yang disediakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Zolkples berkata, pihak berkaitan perlu merancang daripada awal dalam usaha membentuk atlet berkualiti seterusnya berada dalam prestasi terbaik untuk persediaan ke temasya berkenaan.

“Saya jangkakan dalam tempoh setahun tidak cukup untuk kembalikan prestasi atlet terbabit berikutan mereka bukannya menyertai kejohanan peringat kebangsaan, namun ini adalah temasya Olimpik yang menghimpunan atlet dari seluruh dunia” katanya.

Seramai 12 atlet sudah mengesahkan tempat ke Olimpik iaitu ratu gimnastik, Farah Ann Abdul Hadi, Khairulnizam Mohd Khairulnizam Mohd Afendy (laser standard), Nur Shazrin Mohd Latif (laser radial), Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (international 470), dan Khairul Anuar Mohamad (memanah). Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng (3m papan anjal), Pandelela Rinong (10m platform) dan berpasangan dengan Leong Mun Yee dalam acara 10m seirama serta Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (basikal).

Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 6:10am
d