arena

MSP tambah elaun atlet

Oleh Mohd Rafi Mamat

MAJLIS Sukan Pahang (MSP) terpaksa menambah 100 peratus sumber kewangan bagi membayar elaun atlet berikutan keputusan kerajaan penangguhan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020.

Pengarahnya Zamri Hassan berkata, sebelum ini peruntukan kira-kira RM81,000 setiap bulan disediakan untuk membayar elaun atlet Sukma dan jurulatih termasuk atlet program pembangunan serta atlet sekolah sukan yang jumlah elaun mereka berbeza.

Katanya, penambahan perbelanjaan tidak dapat dielakkan demi kebajikan semua atlet Sukma yang kebanyakan mereka kini sudah bersedia untuk bersaing membawa cabaran kontinjen Pahang di arena kebangsaan.

“Kontinjen Tok Gajah membariskan lebih 600 atlet lelaki dan perempuan yang akan bersaing dalam 29 daripada 31 acara yang dipertandingkan sepanjang kejohanan Sukma Johor 2020yang sebelum ini dijadualkan diadakan 11-19 Julai depan namun ditangguhkan pada tarikh akan diumumkan kemudian disebabkan wabak Covid-19 yang melanda negara.

“Kita tidak dapat mengelak daripada menyediakan peruntukan tambahan bagi membayar elaun atlet Sukma demi menjaga kebajikan serta hak mereka,” katanya, di sini hari ini.

Kelmarin Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memutuskan penundaan temasya Sukma Johor 2020 berikutan penularan wabak Covid-19.

Mesyuarat berkenaan mengenalpasti dua cadangan tarikh yang menjadi pilihan majoriti iaitu pada Disember 2020 ataupun dianjakkan ke tahun 2021 berdasarkan beberapa faktor antaranya pemantauan perkembangan Covid-19, tiada pertindihan dengan tarikh penting seperti peperiksaan awam atau sukan utama selain meneliti dan mengambil kira kepentingan semua pemegang taruh.

Zamri menambah, MSP sepatutnya menyenaraikan barisan terakhir atlet Sukma Johor 2020 pada 31 Mac ini namun terpaksa ditunda pada tarikh baru yang akan tetapkan semula selepas ini, mesyuarat dengan jurulatih dan pengurus pasukan akan diadakan.

Beliau berkata, semua atlet Sukma Pahang dinasihatkan tidak perlu bimbang tentang bayaran elaun mereka kerana bayaran tetap disediakan mengikut yang ditetapkan walaupun Sukma Johor 2020 ditangguhkan.

“Buat masa ini saya nasihatkan kepada semua atlet Pahang supaya dapat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan bagi mengelak mereka dikenakan tindakan undang-undang, duduk di rumah hingga 14 April.

“Atlet akan dipanggil untuk memasuki kem apabila keadaan mengizinkan, kini selain berada di rumah mereka juga perlu mengadakan latihan yang sesuai mengikut acara masing-masing,” katanya yang berharap misi melakar keputusan membanggakan di Sukma Johor 2020 menjadi kenyataan.

Bagi atlet menembak Pahang, Fatin Yumni Nabila Ahmad Norizan berkata, keputusan MSP membayar elaun penuh walaupun Sukma Johor 2020 ditangguhkan suatu berita yang mengembirakan semua atlet.

“Keputusan berkenaan menambahkan lagi semangat atlet untuk memberi persembahan yang terbaik dalam usaha melakar keputusan terbaik pada setiap acara,” katanya yang bersaing dalam acara Air Rifle.

Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 8:33pm
d