arena

Pedro rindu anak

Oleh AFP

PEMAIN sayap Chelsea, Pedro mengakui dia berdepan saat sukar apabila berpisah dengan anaknya berikutan tempoh perintah berkurung akibat penularan wabak Covid-19.

Anaknya sekarang berada di Sepanyol dan pemain berusia 32 tahun itu tidak boleh pulang ke rumah untuk bertemu dengan keluarga berikutan sekatan perjalanan akibat pandemik berkenaan.

Pemain kelahiran Sepanyol itu kekal di England dan duduk berjauhan memberikannya satu pengalaman yang tidak tentu arah.

“Ia sangat sukar untuk tidak dapat bertemu dengan anak, ibu bapa, adik-beradik, tidak berada dengan mereka pada saat genting ini, situasi sangat meresahkan buat kami semua.

“Kami hanya berhubung melalui telefon, sentiasa bertanyakan apa yang dilakukan dalam tempoh berkurung ini dan cuba untuk kekal berhubungan.

“Sudah tentu, kami mahu berada di sana namun disebabkan isu keselamatan ia tidak boleh berlaku sekarang. Jadi kita hanya perlu kekal di mana kita berada sekarang,” kata pemain berkenaan dalam laman web rasmi kelab itu.

Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kekal ditunda sehingga 30 April namun ia boleh dilanjutkan lagi jika virus berkenaan kekal menjadi masalah utama.

Pedro menyalurkan bantuan di Sepanyol dengan yayasannya sendiri, manakala skuad utama The Blues melakukan derma kepada Yayasan Chelsea bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan di barat London.

Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 1:06am
d