arena

UEFA akui musim ini sukar ditamatkan

Oleh Reuters

BADAN induk bola sepak Eropah menganggap saingan musim ini mungkin akan ‘hilang’ jika ia tidak bersambung pada hujung Jun meskipun pada masa sama tidak menafikan ia mungkin akan disambung semula pada musim depan.

Presiden UEFA, Aleksander Ceferin memberitahu akhbar Itali bahawa ada beberapa pilihan untuk menamatkan musim ini yang terjejas berikutan pandemik Covid-19 di sekitar Eropah.

Ada pelan A, B dan C. Ketiga-tiga pelan itu diharap akan bermula semula pada pertengahan Mei, Jun atau hujung Jun. Jika kami tidak berjaya, saingan musim ini mungkin akan hilang,” katanya.

Bagaimanapun beliau menambah: “Ada juga kemungkinan ia akan bermula semula pada permulaan tahun depan. Kami akan melihat apakah jalan penyelesaian terbaik untuk saingan liga dan kelab.”

Ceferin berkata, menamatkan saingan liga domestik adalah keutamaan badan induk itu meskipun ia terpaksa dilangsungkan secara tertutup.

“Sukar untuk saya membayangkan kesemua perlawanan terpaksa dilangsungkan secara tertutup tetapi kami juga tidak pasti sama ada ia akan diteruskan bersama atau tidak dengan penonton.

“Jika tiada pilihan, adalah lebih baik untuk menamatkan saingan liga dengan cara tanpa penonton.

“Tetapi saya rasa tidak mungkin final saingan Eropah akan berlangsung di stadium tertutup,” katanya.

Ceferin berkata, keputusan untuk menangguhkan saingan Euro 2020 sehingga tahun depan menunjukkan bahawa pihaknya mengambil berat situasi semasa serta bertanggungjawab ke atas setiap pasukan.

Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 7:25am
d