arena

Saingan F1 hingga Januari tahun depan?

Oleh Reuters

FORMULA Satu (F1) perlu memendekkan saingan pada minggu perlumbaan dan berlumba sehingga Januari tahun depan jika ia dapat membantu menyelamatkan saingan musim ini yang terganggu berikutan pandemik Covid-19.

Aksi pembuka tirai di Australia pada 15 Mac lalu dibatalkan dan Grand Prix Monaco juga dibatalkan buat kali pertama sejak 1954.

Enam pusingan lagi terpaksa ditangguhkan dan dijangka beberapa pusingan lagi akan turut serta mengambil tindakan sama berikutan perintah berkurung.

Bagaimanapun bos Ferrari, Mattia Binotto berkata, mereka berharap dapat kembali beraksi sekitar musim panas di Eropah dengan perlumbaan dikurangkan antara 15 hingga 18 pusingan.

Binotto memberitahu media Itali bahawa pasukan memberikan kebebasan kepada penganjur F1 untuk melakukan apa yang sepatutnya bagi meneruskan saingan musim ini.

“Kami sentiasa mengadakan perbincangan. Saya bersama prinsipal pasukan yang lain berasakan ini adalah saat yang penting.

“Kami mengambil keputusan memberi kebebasan sepenuhnya kepada Pengerusi F1, Chase Carey dan FIA untuk membuat keputusan bagi membolehkan kami berlumba semula secepat yang mungkin.

“Kami sedang memikirkan beberapa cadangan termasuk berlumba dengan jadual yang padat. Mungkin dua atau tiga perlumbaan pada Januari tahun depan selain mempertimbangkan untuk membatalkan sesi latihan pada setiap Jumaat,” katanya.

F1 memerlukan sekurang-kurangnya lapan perlumbaan untuk mengesahkan kejohanan dan musim 2020 sepatutnya berakhir di Abu Dhabi pada 29 November.

Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 8:21am
d