arena

Berlatih guna botol minuman

Oleh Mohd Rafi Mamat

ATLET menembak Sukan Malaysia (Sukma) Pahang mengambil alternatif menggunakan kayu dan botol minuman menggantikan pistol dan senapang bagi latihan di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Kaedah latihan ringkas yang digunakan itu diharap dapat mengekalkan prestasi terutama apabila terlalu lama tidak berpeluang menggunakan senjata sebenar yang mereka gunakan.

Bagi atlet acara 10 meter (m) Air Rifle, Fatin Yumni Nabila Ahmad Norizan, dia menggunakan sebatang kayu kemudian di bahagian depan diletakkan botol minuman air mineral 500 mililiter (ml) bagi mendapatkan berat yang hampir sama dengan senjata sebenar.

Katanya, kaedah latihan yang digunakan itu sebelum ini dicadangkan oleh jurulatih untuk dilakukan oleh semua atlet menembak Pahang yang kini terpaksa berada di rumah berikutan arahan PKP oleh kerajaan sejak 18 Mac hingga 14 April depan.

Menurutnya, latihan ringkas itu dilakukan bertujuan untuk menguatkan dan mengawal bahagian tangan serta bahu yang akan mengawal senjata ketika melakukan tembakan.

“Kelihatan mudah latihan berkenaan tetapi ia memberi impak yang besar kepada atlet menembak. Selain kekuatan fizikal, turut perlu ada ialah tumpuan atau fokus sepanjang acara berlangsung bagi mendapat ketepatan tembakan ke sasaran.

“Sepanjang PKP ini saya meluangkan masa antara 30 minit hingga sejam melakukan secara sendirian dalam rumah, walaupun tanpa pengawasan jurulatih itu tidak bermakna saya boleh berehat panjang kerana tanpa latihan berterusan, prestasi kita pasti akan jatuh,” katanya.

Dia yang kini sedang mengikuti latihan praktikal mengajar di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur berkata, Sukma Johor 2020 adalah kejohanan terakhir yang disertai selepas dua kali mewakili Pahang.

Sebelum itu dia berpeluang mewakili universiti dan negeri pada beberapa kejohanan peringkat kebangsaan.

Fatin yang melanjutkan pengajian dalam jurusan sains sukan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata, untuk mencapai kejayaan dalam apa juga acara sukan faktor utama perlu diberi perhatian ialah latihan, beri ruang masa secukupnya mengikuti sesi latihan sambil mendapat bimbingan jurulatih.

“Saya nasihatkan kepada semua atlet Pahang terutama acara menembak lakukan latihan di rumah secara berterusan dan tidak keluar rumah sekiranya tiada urusan penting,” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 2:10pm
d