arena

Hajat tak sampai

Oleh Mohd Amin Jalil

HASRAT Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan (POANS) untuk menghantar dua atletnya, Muhammad Haiqal Hanafi dan Sadat Marzuqi Ajisan menjalani latihan intensif di luar negara tahun ini terbantut ekoran wabak Covid-19.

Pengurusnya, S Anthony berkata, Muhammad Haiqal yang juga pemenang pingat emas bagi acara pecut 100 meter pada Sukan SEA di Filipina tahun lalu berhasrat berlatih di Australia.

Manakala Sadat Marzuqi yang beraksi dalam acara baling tukul besi bercadang meneruskan latihan di China.

“Bagaimanapun perancangan POANS untuk menghantar mereka ke negara terbabit bagi meningkatkan lagi prestasi dan menimba pengalaman, tidak dapat dilakukan dalam tempoh terdekat kerana wabak Covid-19 ini.

“Pada rancangan asalnya memang kita (POANS) bercadang untuk menghantar mereka sebelum temasya Sukma tetapi disebabkan Covid-19 dan penangguhan Sukma, kita berharap hasrat itu dapat dicapai selepas keadaan wabak ini reda.

“Bagaimanapun ia juga bergantung kepada keadaan di Australia dan China sama ada sesuai atau sebaliknya,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas mengenai persiapan Sukma, Anthony berkata, seramai 35 atlet olahraga yang sudah disenaraikan kini hanya berlatih di rumah masing-masing ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, pihaknya menyediakan jadual latihan khas yang perlu diikuti setiap atlet dengan pemantauan dilakukan empat jurulatih.

“Walaupun latihan hanya membabitkan aktiviti kecergasan kerana di rumah tiada peralatan berkaitan tetapi ia tetap penting buat atlet berada pada tahap kecergasan terbaik,” katanya.

Katanya, antara atlet olahraga Negeri Sembilan yang disandarkan meraih pingat emas pada Sukma ialah termasuk Haiqal, Sadat dan Ainur Syafiqah Azmi dalam acara 400 dan 3,000 meter lari berhalangan.

Mengulas tarikh sesuai diadakan Sukma, Anthony berpendapat akhir tahun ini adalah waktu yang difikirkan sesuai jika keadaan penularan Covid-19, kembali reda.

“Jika Covid-19 ini cepat reda, sebaik-baiknya temasya itu perlu diadakan pada akhir tahun ini supaya semua kontinjen dapat membuat persiapan yang terbaik,” katanya.

Temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor yang sepatutnya berlangsung dari 11 hingga 19 Julai depan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian ekoran penularan Covid-19.

Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 3:12pm
d