arena

FELDA United bantu 'frontliner'

Oleh Firdaus Hashim

KELAB Bolasepak FELDA United mewujudkan iniasitif mengadakan kutipan sumbangan dalam meringankan dan membantu kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), anggota keselamatan yang bertugas menangani Wabak Covid-19 serta individu-individu yang terkesan dalam kalangan warga Felda.

Kutipan sumbangan ini membabitkan pengurusan FELDA United, pegawai kejurulatihan, pemain serta penaja-penaja pasukan yang bermula pada 25-31 Mac ini dan kemungkinan akan dilanjutkan sehingga 7 April depan.

Menurut Setiausaha Agung FELDA United, Afizal Abu Othman, kutipan sumbangan diilhamkan oleh Presiden kelab, Anuar Malek berhasrat untuk membantu KKM dan anggota keselamatan terutamanya ‘frontliner’ yang berkorban dan bertugas menangani wabak ini.

Selain itu, ia untuk membantu meringankan individu yang terkesan khususnya warga FELDA.

“Para pemain juga teruja untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Keseluruhan sumbangan akan dikumpul apabila tempoh kutipan berakhir dan akan diserahkan kepada FELDA untuk diserahkan secara rasmi kepada mereka yang dinyatakan.

“Semoga dengan inisiatif sumbangan ini secara langsung dapat membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Afizal menambah, sumbangan ini juga diadakan dengan kerjasama organisasi bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan FELDA antaranya Koperasi Permodalan Felda (KPF), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) dan lain-lain badan.

Wabak Covid-19 yang ‘menyerang’ negara ini menyaksikan pihak kerajaan terpaksa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18-31 Mac ini sebelum ia dilanjutkan hingga 14 April depan selepas terdapatnya penambahan kes baharu setiap hari.

Ekoran perintah PKP itu, banyak sektor terjejas termasuk perniagaan, perladangan dan lagi-lain.

Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 9:27pm
d