arena

United sedia belanja RM727 juta beli Niguez

Oleh Agensi

MANCHESTER United semakin berkeyakinan melengkapkan perpindahan bernilai £135 juta (RM727 juta) untuk pemain tengah Atletico Madrid, Saul Niguez pada musim panas yang juga menjadi rekod perpindahan kelab.

Pemain Sepanyol itu sudah berada dalam radar United sejak di bawah bimbingan Louis van Gaal lagi namun kelab itu gagal untuk mendapatkannya.

Niguez, 25, menandatangani kontrak lumayan selama sembilan tahun bersama Atletico pada 2017 tetapi ia termasuk klausa pembelian sebanyak RM727 juta dan difahamkan United bersedia untuk membayar jumlah itu.

United menyaksikan aksi Niguez ketika bertemu Liverpool di Anfield awal bulan ini dan dikatakan teruja dengan prestasi pemain itu ketika kelabnya menyingkirkan Liverpool selaku juara bertahan.

Niguez kemungkinan hadir selaku pengganti Paul Pogba dan kehadiran Niguez bergantung kepada urusan penjualan bintang Perancis itu pada musim panas.

Real Madrid dan Juventus kedua-duanya berminat untuk mendapatkan pemenang Piala Dunia itu dengan United meletakkan harga £120m juta (RM646 juta).

Solskjaer kemudian akan diberikan keseluruhan wang itu untuk membeli Niguez dan difahamkan pengendali dari Norway itu berminat untuk menggandingkannya bersama Bruno Fernandes di bahagian tengah.

Fernandes dilihat bermula dengan cemerlang di Old Trafford tetapi Solskjaer tetap mahu mengukuhkan bahagian tengah.

Pengendali berusia 47 tahun itu berminat untuk mendapatkan bintang Ajax, Donny van de Beek tetapi pemain itu lebih berminat dengan perpindahan ke Real Madrid.

Niguez akan menjadi salah seorang pemain yang menerima gaji tertinggi di Old Trafford tetapi United dilihat lega kerana tidak lagi menanggung beban Pogba.

Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 10:10am
d