arena

Bimbang keluarga di Jepun, Brazil

Oleh Malik Muhamad

KAPTEN Terengganu FC II (TFC II) Bruno Suzuki mengakui bimbang mengenai keselamatan ibu bapanya yang kini menetap di Jepun ketika wabak Covid-19 semakin menular di seluruh dunia termasuk di negara Matahari Terbit itu.

Pemain tengah skuad The Turtles itu juga turut bimbang dengan ahli keluarganya yang lain termasuk adik dan abangnya yang tinggal di negara asalnya, Brazil.

Penyerang The Turtles itu berkata, dia bagaikan tidak sabar untuk berjumpa dengan keluarganya, namun dalam masa sama sedar buat masa sekarang keadaan tidak mengizinkan untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun Suzuki lega kerana kedua ibu bapanya serta adik-beradiknya yang kini menetap di Jepun dan Brazil berada dalam keadaan sihat dan bebas daripada sebarang jangkitan wabak pandemik itu.

“Bapa saya kini bekerja di sektor industri kereta dan ibu kini menetap di Jepun, negara berkenaan juga salah satu negara yang terkesan dengan wabak pandemik Covid-19 ini sebagaimana di Malaysia dan Brazil.

“Keadaan ini sudah tentu sangat membimbangkan saya tentang jangkitan wabak ini, tapi berita melegakan saya apabila kedua ibu bapa dan keluarga di Brazil bebas daripada sebarang jangkitan virus itu.

“Tapi bagi memastikan kami berterusan sihat dan bebas daripada wabak itu, duduk di rumah dan elakkan berjumpa dengan orang ramai adalah langkah terbaik, perkara sama juga saya pesan kepada keluarga di Jepun dan Brazil,” katanya.

Sementara itu ditanya adakah dia bersetuju jika Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memotong gaji para pemain ketika tempoh PKP ini susulan penularan wabak Covid-19, Suzuki menyatakan dia tidak bersetuju.

“Saya tidak bersetuju jika gaji kami dipotong, lagipun pasukan sudah beri jadual dan program latihan khusus di rumah dan perlu hantar melalui video, jadi kami masih bekerja” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 1:53pm
d