arena

Perlu buka pintu perbincangan - Windsor

Oleh Firdaus Hashim

KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) mahu pemain Liga Malaysia (Liga-M) mencontohi apa yang dilakukan oleh Indonesia dalam menangani isu kewangan angkara wabak Covid-19.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John berkata, semua pihak berkepentingan perlu membuka pintu perbincangan bagi menghadapi kemungkinan impak kewangan yang meruncing akibat pandemik itu.

“Tanpa kemampuan menjana pendapatan sama ada dari segi jualan tiket, penajaan mahupun sokongan kerajaan, kantung sesetengah pasukan mungkin terjejas untuk satu tempoh yang agak panjang.

“Kelab-kelab mungkin tidak dapat memenuhi tanggungjawab yang termaktub dalam kontrak dengan pemain. Laporan dari Eropah menunjukkan gaji pemain sama ada dipotong atau ditunda.

“Dalam keadaan kita berdepan satu krisis besar, semua pihak harus berjiwa besar. Dengan senario yang sedia ada, inilah masanya untuk kita melihat dari sudut gambaran yang lebih besar,” katanya.

Susulan penularan virus itu, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengisytiharkan Mac hingga Jun ini sebagai keadaan kahar atau Force Majeure (darurat atau keadaan luar jangka) serta mengizinkan kelab untuk menggaji pemain mereka pada kadar maksimum 25 peratus daripada jumlah yang dipersetujui dalam kontrak sepanjang tempoh itu.

Ini bermakna, pemain di liga Indonesia bakal berdepan pemotongan gaji sehingga 75% sehingga wabak Covid-19 ini berakhir.

“Dalam konteks liga Malaysia, AFC menggesa pasukan dan wakil pemain untuk mencari model yang sesuai dalam mendepani kemungkinan ketidakstabilan kewangan, sepertimana yang dilaksanakan oleh badan induk Indonesia, PSSI”

“PSSI duduk berbincang dengan semua pemegang taruh dan bersetuju dengan satu solusi. Kesudahannya, kita tidak mahu kelab atau pasukan menamatkan sebarang kontrak pemain jika kedudukan kewangan mereka tidak lagi mampu menampung perbelanjaan secara berterusan,” katanya

Terdahulu, Arena Metro melaporkan kelemahan dan kelompongan dalam kontrak pemain Liga-M yang tidak mempunyai klausa Force Majeure menyaksikan hasrat pasukan untuk memotong atau menstruktur semula gaji pemain tidak akan berjaya.

Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 9:10pm
d