arena

Norris mahu botak kepala

Oleh Reuters

PEMANDU Formula Satu (F1), McLaren, Lando Norris akan membotakkan kepalanya selepas meraih lebih AS$10,000 (RM43,000) daripada perlumbaan esukan dalam usaha untuk mengatasi Covid-19.

Pelumba Britain itu yang mempunyai 1.3 juta pengikut di Instagram, menyatakan perkara itu sebelum mengambil bahagian dalam satu kejohanan amal menerusi platform live streaming.

Laman web F1 berkata, aksi Norris disaksikan lebih 136,000 pengikutnya ketika dia bermain permainan F1 2019, Rocket League dan iRacing.

“Terima kasih kepada kesemua pengikut saya kerana berjaya mengumpul lebih AS$12,000 (RM51,000) dalam usaha melawan Covid-19. Saya akan memotong semua rambut saya,” katanya di Twitter.

Rakan sepasukannya di McLaren, Carlos Sainz yang mempunyai hubungan rapat dengan Norris tidak sabar melihat pelumba berusia 20 tahun itu memotong rambut.

Saingan F1 masih tidak dapat dimulakan musim ini dengan dua pusingan sudah dibatalkan dan enam pusingan lagi ditangguhkan.

Ketiadaan perlumbaan sebenar menyaksikan beberapa siri esukan menjadi alternatif kepada penonton untuk menyaksikan aksi pemandu mereka.

Norris yang juga rookie pada tahun lalu, kerap berlumba secara dalam talian bersama-sama pelumba Red Bull, Max Verstappen.

Disiarkan pada: March 31, 2020 @ 10:45am
d