arena

Gelanggang tenis bertukar hospital

Oleh Reuters

SEBAHAGIAN Pusat Tenis Nasional Billie Jean King akan memuatkan 350 katil hospital sementara, kata Persatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA) ketika pandemik Covid-19 terjejas teruk di New York.

Jurucakap USTA, Chris Widmaier yang juga pemilik pusat tenis itu berkata, perbincangan berhubung penggunaan kemudahan venue tenis dalam dewan itu akan bermula hari ini.

“Kami di sini ingin membantu, tiada kata dua mengenainya. New York adalah ‘rumah’ kami, jadi kami akan mengharungi tempoh ini bersama-sama,” katanya.

Pengurusan Kecemasan New York City (NYCEM) memberitahu USTA berhubung perancangan mereka itu semalam selepas sebelum itu memaklumkan pusat tenis itu berpotensi untuk tujuan rawatan perubatan tambahan.

“Ia mungkin digunakan untuk bukan pesakit Covid-19 dan kami akan membuat penilaian berdasarkan keperluan semasa,” kata jurucakap NYCEM, Omar Bourne.

Beliau menambah pihaknya sedang mengenalpasti beberapa tempat lain yang boleh digunakan untuk menambah kapasiti hospital.

Disiarkan pada: March 31, 2020 @ 12:27pm
d