arena

Prestasi, momentum atlet boleh merudum

Oleh Syazwan Msarmohd

HANYA dalam tempoh dua minggu saja jika tiada sebarang latihan intensif yang dilakukan oleh atlet boleh menyebabkan prestasi dan momentum mereka menurun hingga 50 peratus sekali gus berdepan laluan berliku untuk mempamerkan aksi terbaik dalam sebarang kejohanan.

Malah, kemahiran atlet boleh ‘berkarat’ jika tidak menjalani latihan khusus sekali gus menyebabkan mereka perlu bermula dari awal untuk mendapatkan kembali rentak dalam sukan masing-masing.

Perkara terbabit diakui bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz apabila mencadangkan pihak berkaitan perlu mengubah atau merombak program atlet sedia ada mengikut keperluan semasa sejajar dengan penularan wabak Covid-19 dan penangguhan temasya Olimpik 2020 di Tokyo.

Beliau berkata, walaupun setiap atlet mengetahui tanggungjawab dan komitmen masing-masing namun penundaan kejohanan sukan sebenarnya menganggu perancangan mereka untuk terus kekal berada pada tahap terbaik.

“Setiap atlet sudah cukup jika dalam tempoh dua minggu meninggal latihan asas atau berintensiti tinggi boleh menjejaskan keupayaan masing-masing hingga menurun 50 peratus.

“Oleh itu, setiap jurulatih dan pegawai sains sukan perlu mengubah perancangan mengikut kesesuaian keadaan terkini terutama atlet terpaksa meminumkan aktiviti masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Untuk mengekalkan prestasi pada peringkat pra pertandingan sebenarnya cukup sukar terutama apabila persediaan awal terganggu dan kini atlet perlu bijak mengekalkan momentum masing-masing mengikut garis panduan yang sudah ditetapkan,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 mengumumkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 ditangguhkan ke tahun depan berikutan pandemik global Covid-19.

Keputusan itu dipersetujui selepas perbualan telefon antara Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan Presiden IOC, Thomas Bach berdasarkan krisis global semasa dan maklumat yang disediakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Turut dimaklumkan bahawa beberapa negara seperti Kanada, Australia dan Britain memaklumkan untuk menarik diri daripada menyertai Olimpik Tokyo sekiranya ia tetap di anjurkan Julai ini.

Sementara itu, Ramlan berkata, ISN mempunyai tenaga pakar mencukupi dan berpengalaman dalam membentuk seterusnya memastikan atlet terutamanya yang akan bertanding di temasya Olimpik berada pada prestasi terbaik.

“Sudah tentu barisan jurulatih dan pegawai ISN akan berbincang bagi menangani masalah yang dihadapi atlet seterusnya merangka program bersesuaian untuk mereka,” katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2020 @ 7:21pm
d